by Oh! Semput
KUALA KRAI, 4 Jun — Salah seorang pelajar tahfiz yang maut dalam kemalangan van di sini menulis nota menyatakan hasrat mahu meninggal dunia dalam bulan Ramadan.
Nota itu ditulis Mohd Hakimi Mohd Dahalan, 17, empat hari sebelum bermula puasa, yang menurut abangnya permintaan itu ditunaikan Allah.
“Itu yang ditulis di dalam sekeping nota arwah adik yang diserahkan oleh pengurusan tahfiz kepada kami sekeluarga pada jam 10 pagi semalam.
“Tiada kata yang dapat diluahkan hanya hanya air mata mengiringi nota kenangan adik,” kata Muhammad Firdaus seperti dilapor Harian Metro.
Muhammad Firdaus berkata kehilangan adiknya, yang sudah menghafal 23 juzuk al-Quran, memberi kesan ibunya Zarina Abdul Razak kerana mereka tinggal berjauhan.
Zarina berkata anak bongsu tiga beradik itu sempat memohon maaf kepadanya dan keluarga yang secara tiba-tiba menghubungi mereka melalui Whatapps, Isnin lalu.
“Saya hairan kerana sebelum ini arwah akan memohon maaaf ketika sambutan Aidilfitri, namun kali ini dia bersungguh-sunggguh memohon maaf,” katanya.
Mohd Hakimi, antara tujuh pelajar Maahad Tahfiz Al-Hashimi Kampung Tualang di sini, terkorban selepas van yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjatuh ke dalam cerun dan merempuh sebuah rumah penduduk dalam insiden 9.45 pagi kelmarin di Kilometer 55 Jalan Kuala Krai-Kota Baru.