Pemilik Tanah Benarkan Komuniti Rohingya Bina Flat Di Sungai Tekali

by Oh! Semput


5
SHARES
66
VIEWS
Posted on 09 Jun 2026 11:31:36

Isu kewujudan penempatan dan struktur kediaman bertingkat yang dikaitkan dengan komuniti Rohingya di Sungai Tekali dipercayai berpunca daripada tindakan pemilik tanah yang membenarkan kawasan berkenaan digunakan sebagai penempatan tanpa kelulusan sewajarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Azi berkata, perkara itu bukan isu baharu kerana ia telah beberapa kali dibangkitkan dalam Mesyuarat Tindakan Daerah Hulu Langat sejak tahun lalu untuk perhatian serta tindakan pihak berkaitan.

Menurut beliau, pelbagai operasi penguatkuasaan, pemantauan dan tindakan telah dilaksanakan oleh agensi kerajaan bagi menangani isu tersebut, namun usaha berkenaan berdepan cabaran apabila pemilik tanah didakwa membenarkan pembinaan struktur kediaman dan penempatan warga asing di kawasan terbabit.

Katanya, tindakan itu bukan sahaja melanggar peraturan yang ditetapkan, malah menyukarkan pihak berkuasa untuk melaksanakan penguatkuasaan secara menyeluruh dan berkesan.

“Punca utama ialah tindakan pemilik tanah yang membenarkan penggunaan tanah bagi tujuan penempatan dan pembinaan struktur tanpa kelulusan, termasuk menyediakan kemudahan utiliti seperti bekalan air dan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan bahawa sebahagian maklumat berkaitan tindakan yang telah diambil tidak boleh didedahkan kepada umum kerana masih melibatkan operasi dan siasatan yang sedang berjalan.

Bagaimanapun, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada agensi berkaitan, beliau berpendapat peranan pemilik tanah merupakan antara faktor utama yang menyebabkan isu tersebut berlarutan sehingga kini.

Johan berkata, tindakan penguatkuasaan tidak seharusnya tertumpu kepada penghuni sahaja, sebaliknya perlu melibatkan individu atau pihak yang membenarkan serta memudahkan pembinaan dan penempatan itu berlaku di atas tanah milik mereka.

Beliau turut memaklumkan bahawa perkara tersebut akan dibangkitkan semula dalam Mesyuarat Tindakan Daerah akan datang bagi memastikan tindakan lebih menyeluruh dapat diambil terhadap semua pihak yang terlibat.

Berdasarkan maklumat yang dikongsikan, dianggarkan kira-kira 400 individu daripada komuniti Rohingya dipercayai menetap dan membina perkampungan di kawasan berkenaan.

Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada penyampai radio dan pelakon, Azad Jasmin atau Pak Azad yang membantu menarik perhatian umum terhadap isu itu menerusi rakaman video yang tular di media sosial.

Terdahulu, video berkenaan memaparkan sebuah struktur kediaman empat tingkat yang kelihatan uzur dengan sambungan paip air serta pendawaian elektrik yang mencurigakan, dipercayai terletak di kawasan Sungai Tekali.

Setakat ini, pihak berkuasa masih menjalankan pemantauan dan siasatan lanjut bagi menentukan status sebenar penempatan tersebut serta mengenal pasti sebarang pelanggaran undang-undang yang mungkin berlaku.

Pemilik Tanah Benarkan Komuniti Rohingya Bina Flat Di Sungai Tekali first appeared on #1 The News Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts