Pencetak 3D Bambu Lab H3C Akan Mula Dijual Di Pasaran Tempatan Pada Harga RM12,999

by Oh! Semput


3
SHARES
40
VIEWS
Posted on 27 Nov 2026 07:00:42

Bambu Lab ialah syarikat yang cukup dikenali untuk penawaran pelbagai pencetak 3D mereka, dan terkini, mereka telah memperkenalkan model pencetak 3D terbaru mereka ke pasaran global, iaitu Bambu Lab H3C, iaitu model pertama dalam generasi ketiga pencetak 3D desktop mereka.

Pencetak 3D ini memperkenalkan sistem Swaptek yang terdiri daripada sembilan alat yang membolehkan pencetak 3D ini untuk melakukan pencetakan FDM (Fused Deposition Modeling) dengan pelbagai filamen bahan berbeza tanpa perlu berkompromi dengan kelajuan dan kejituan cetakan dan juga kemudahan pengguna.

Melalui model pencetak Bambu Lab H3C ini, pengguna boleh mencetak dengan pelbagai filamen bahan berbeza dalam satu aliran kerja yang mudah, dan membolehkan mereka untuk menjadi lebih kreatif dengan rekaan produk dan pencetakan mereka.

Sistem penukar alat Swaptek yang diperkenalkan dengan pencetak 3D H3C ini menangani masalah pertukaran filamen bahan secara langsung. Sistem ini menggantikan kaedah konvensional yang menggunakan satu kepala pencetak yang memerlukan pengguna untuk memasukkan serta mengeluarkan filamen setiap kali bahan ditukar. Setiap alat mempunyai laluan filamen dan elemen pemanasnya sendiri, jadi filamen sentiasa terisi, dipanaskan awal dan sedia digunakan apabila diperlukan.

Dengan sistem Swaptek, filamen dapat ditukar dalam kurang daripada 6 saat dan setiap pertukaran menghasilkan sisa serendah 0.038g sahaja. Hasilnya, pencetakan berbilang bahan kini dapat dilakukan dengan pantas dan mudah dalam satu sistem sahaja.

Dalam pada itu, sistem pemanasan filamen Active Pre-Heat diaktifkan apabila pertukaran filamen diperlukan, dimana sistem ini akan membaca kod geometri untuk memastikan filamen seterusnya sedia untuk proses pencetakan apabila nozel filamen sedia ada menyiapkan tugasan semasa. Proses pertukaran filamen ini hanya mengambil masa enam saat sahaja seperti yang dikatakan sebelum ini.

Kepantasan ini disokong oleh Rak Boleh Tarik (Retractable Rack) yang terbina didalam pencetak 3D HC3. Sewaktu proses pencetakan, tiub panduan dilipat ke belakang supaya objek cetakan dapat dilihat dengan jelas, getaran dikurangkan dan lebih banyak ruang paksi-Z tersedia untuk cetakan yang lebih tinggi. Rak ini juga mengelakkan tiub daripada berlaga, dan ia adalah penting untuk memastikan pencetakan berbilang bahan yang panjang berjalan lancar.

Kepala alat dan paksi-X H3C telah diringankan sebanyak 40% berbanding model sebelumnya. Ini membolehkan pecutan sehingga 25,000 mm/s² dan kelajuan sehingga 1,400 mm/s tanpa kesan riak (ringing) yang biasa berlaku pada kelajuan tinggi.

Setiap nozel hotend H3C, diperbuat daripada keluli yang dikeraskan sepenuhnya dengan kekerasan HRC 55+. Nozel ini direka supaya tahan haus apabila menggunakan filamen seperti gentian karbon, gentian kaca dan bahan komposit lain.

Dari segi pengurusan haba, H3C menggunakan sistem dwi-pemanas aktif. Ruang pencetakan boleh dipanaskan sehingga 65 darjah Celcius, dan setiap nozel daripada kesemua sembilan kepala alat boleh mencapai 350°C untuk menyokong bahan-bahan seperti ABS, PC, PA-CF, PET-CF dan polimer suhu tinggi yang lain.

Mesin pencetak Bambu Lab H3C akan mula ditawarkan bermula awal bulan Disember 2026 pada harga RM12,999 melalui semua pengedar rasmi Bambu Lab di seluruh Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts