by Oh! Semput
Beberapa minggu lepas kami telah melaporkan penawaran penghala WiFi 8 pertama dari TP-Link, iaitu TP-Link Archer 8 Ultra dan TP-Link Deco 8 Ultra mereka.

Kedua-dua penghala WiFi 8 ini hadir dengan sokongan untuk sambungan tri-band (2.4GHz, 5GHz, 6GHz) dengan kelajuan agreget sehingga 19Gb/s untuk model Archer 8 Ultra dan 22Gbps untuk model Deco 8 Ultra. Mereka juga hadir dengan palam LAN dengan sokongan kelajuan 10Gbps.

Hanya seminggu selepas pengumuman di acara IFA 2026 di Berlin, TP-Link hari ini telah mengadakan acara TP-Link APAC B2B Summit di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan memperlihatkan kedua-dua penghala WiFi ini secara fizikal.

Archer 8 Ultra hadir dengan 18 antena dalaman untuk membolehkan penghala tersebut memancarkan data pada kadar yang tinggi dan sekata, manakala Deco 8 Ultra, iaitu penghala WiFi mereka yang hadir dengan tiga pemancar tambahan yang lain boleh meliputi kawasan sebesr 9800 kaki persegi dengan rangkaian data yang pantas.

Apabila TP-Link membuat pengumuman global mengenai penghala-penghala WiFi 8 ini, mereka telah mengumumkan bahawa pra-tempahan untuknya akan dibuka pada penghujung bulan September ini, dengan jualan rasmi akan bermula pada suku pertama dan juga kedua pada tahun 2027 kelak. Untuk pasaran Malaysia, butiran pra-tempahan belum diumumkan lagi setakat ini, tetapi jangkaan kami ialah ia akan dijual sekitar suku-suku yang sama seperti apa yang diumumkan sebelum ini.