by Oh! Semput

Syarifah Yusof, 58, menunjukkan rebusan daging lembu tempatan berhubung perniagaan Mee Champanya difitnah mengandungi daging babi. – Foto Rosli Ilham
DUNGUN: Pengusaha Mak Wan Mee Sup Champa, kedai makan yang popular dengan menu sup di daerah ini, akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya masih ada pihak yang menabur fitnah terhadap perniagaannya.
Pemiliknya, Syarifah Yusof, 58, berkata beliau kecewa dengan fitnah dilemparkan terhadap dirinya kebelakangan ini, yang didakwa mencampurkan daging babi, katak dan labi-labi dalam menu makanan dijualnya, selain dituduh menggunakan makhluk halus sebagai pelaris kedai.
Beliau berkata, fitnah terbaru dikesan Ahad lalu selepas anaknya, Abdul Kadir Mohamad, 27, terbaca di Facebook, kononnya seorang ustaz bersama isterinya yang menikmati mee champa di kedainya itu mendakwa ternampak makhluk halus meniarap di atas meja makan.
“Individu itu mendakwa makhluk halus bermata merah dalam keadaan lidahnya terjelir. Fitnah itu menyebabkan saya tidak putus-putus menerima panggilan daripada pelanggan yang meminta saya memberi penjelasan,” katanya ditemui di kedainya di Jalan Pantai Sura Hujung, hari ini.
Syarifah berkata, resipi sup turun temurun daripada Allahyarham ibunya, Zainab Omar, sejak 1987 itu hanya menggunakan daging dan tulang lembu asli yang dibeli daripada pembekal di Pasar Besar Dungun.
“Setiap hari saya menempah 100 kilogram (kg) daging dan 40kg tulang lembu daripada pembekal. Demi Allah, saya tidak pernah mencampurkan sup dengan rebusan tulang daging haiwan yang haram dimakan orang Islam kerana saya juga orang Islam dan tahu halal dan haram.
“Saya sangat menekankan aspek kebersihan premis dan makanan yang disajikan kepada orang ramai dan sebagai bukti kedai saya tidak pernah disaman atau disita oleh pihak berkuasa tempatan atau Pejabat Kesihatan.
“Malah, saya juga tidak pernah menghalang pelanggan masuk ke dapur untuk membuat pemeriksaan,” katanya kesal dengan fitnah dilemparkan oleh individu yang dipercayai cemburu dengan kejayaan kedai makannya yang berjaya menarik lebih 800 pelanggan setiap hari.
Syarifah berkata, Abdul Kadir sudah membuat laporan polis berhubung fitnah itu di Balai Polis Dungun pada 26 Disember lalu dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan termasuk saman individu bertanggungjawab sekiranya fitnah seumpama itu berulang.
Category: Semasa