by Oh! Semput

ANGGOTA bomba membantu seorang warga emas dari Kampung Sungai Berdarah, Selama untuk dihantar ke pusat pemindahan, awal pagi tadi. – – Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
SELAMA: Hujan berterusan dan kenaikan mendadak sungai menyebabkan 65 penduduk dari empat kampung di sini, dipindahkan ke tiga pusat pemindahan banjir yang dibuka awal pagi tadi.
Banjir yang mula melanda kira-kira jam 7.30 malam tadi, turut menyebabkan laluan utama di Kampung Ulu Nor di sini, tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan berikutan berlaku mendapan tanah.
Difahamkan, kejadian itu menyebabkan 20 keluarga tidak dapat keluar berikutan tiada jalan alternatif kecuali jalan ladang yang hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda (4WD).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selama, Fauzi Razali, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 7.51 malam tadi dan bergegas ke lokasi bagi memindahkan mangsa.
Sehingga jam 1.15 pagi tadi, katanya, seramai 65 mangsa dari empat kampung berkenaan iaitu Banggol Jas, Garok, Sungai Berdarah dan Sungai Setar dipindahkan ke Surau Banggol Jas, Balai Lintang Masjid Al Aziziah Sungai Bayor dan Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Setar.
“Mangsa merangkumi 33 penduduk Kampung Banggol Jas, 18 penduduk Kampung Garok dan Sungai Berdarah serta 14 orang dari Kampung Sungai Setar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, pagi ini.
Beliau berkata, pihaknya yang dibantu BBP Serdang, Kedah dan beberapa agensi lain terus memantau keadaan serta bersedia menghadapi segala kemungkinan berikutan cuaca tidak menentu.
Sementara itu, seorang penduduk dari Sungai Berdarah, Halimah Junoh, 45, berkata kawasan rumahnya mula dilanda banjir jam 7.45 malam tadi.
“Atas nasihat pasukan keselamatan dan bimbangkan keadaan keluarga serta anak lelaki yang akan menghadapi peperiksaan hari ini, kami ke pusat pemindahan di Balai Lintang Masjid Al Aziziah,” katanya.-BERITA HARIAN