by Oh! Semput
Seperti Google Maps, Waze kini turut memberi tumpuan penuh kepada Gemini. Kemas kini ini memperkenalkan pelbagai ciri baharu yang memberi pemandu lebih banyak pilihan cara menggunakan Waze ketika berada di jalan raya.

Pertama, Waze memperkenalkan ciri Conversational Reporting. Melaluinya, pengguna boleh melaporkan insiden trafik seperti kesesakan, jalan ditutup atau alamat tidak tepat hanya dengan bercakap secara semula jadi kepada aplikasi. Laporan tersebut kemudian akan dihantar kepada editor peta tempatan untuk disahkan sebelum dipaparkan kepada pengguna lain.

Selain itu, Waze turut memperkenalkan Mod Motosikal. Ciri ini menggunakan AI untuk mengira laluan khas bagi kenderaan dua roda dengan mengambil kira sekatan di jalan raya. Ia juga memberikan anggaran masa perjalanan yang lebih tepat serta memberi amaran bahaya khusus kepada penunggang termasuk lubang jalan, bonggol dan jambatan sempit. Menariknya, ciri ini sudah ditawarkan di Malaysia sebagai sebahagian daripada pelancaran awal.

Seterusnya, Waze memperkenalkan ciri carian berasaskan suara dengan bantuan Gemini. Melaluinya, pengguna boleh meminta Waze mencari lokasi seperti ‘kedai kopi yang sedang dibuka’ dan terus memulakan navigasi hanya dengan arahan suara. Buat masa ini, ciri tersebut hanya ditawarkan kepada pengguna beta dan tarikh pelancaran umum masih belum diumumkan.
Selain itu, Waze juga akan mencadangkan laluan berdasarkan perjalanan serta memahami corak trafik bandar. Jika anda lebih suka memandu di lebuh raya berbanding jalan biasa dengan banyak perhentian, laluan lebuh raya akan dipaparkan terlebih dahulu.
Akhir sekali, Waze memperkenalkan Less Chatty Mod iaitu navigasi yang lebih ringkas untuk pemandu yang mahu mendengar muzik atau podcast tanpa terlalu banyak gangguan suara. Walaupun lebih ringkas, mod ini tetap memberi amaran penting seperti bahaya, lubang jalan dan pertukaran lorong. Ciri ini sedang dilancarkan secara global.