by Oh! Semput
Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki memandu secara berbahaya sebelum melanggar tiga kenderaan dan melarikan diri dengan meninggalkan kenderaannya di Lebuhraya Persekutuan pada 20 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya mengesan video kejadian yang tular di media sosial kira-kira jam 7.45 malam pada Ahad.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 6.10 petang apabila sebuah Perodua Kembara dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 59 tahun dari arah Shah Alam menghala ke Kuala Lumpur.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu terbabit disyaki memandu secara berbahaya sehingga melanggar sebuah kereta dan sebuah motosikal sebelum melarikan diri dengan meninggalkan kenderaannya di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, penunggang motosikal yang mengalami kecederaan ringan telah dibawa ke Hospital Sunway untuk menerima rawatan.

Sementara itu, polis kini sedang mengesan pemandu terbabit yang menghilangkan diri sejurus selepas kemalangan berlaku.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Shamsudin mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Katanya, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil.
Orang ramai yang melihat atau berada di lokasi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Kumaran A/L Murugaya di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menerusi talian 03-7966 2222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. – AWANI
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
Polis Buru Pemandu Perodua Kembara Langgar Tiga Kenderaan Di Lebuhraya Persekutuan first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.