by Oh! Semput
HULU LANGAT, 2 Jun — Pegawai polis yang ditemui mati dengan kesan tembakan di dahi, menyuarakan hasrat berhenti kerja kerana tekanan kerja, kata bapanya.
Sharif Folidin Jaafar, 63, berkata anaknya, Ahmad Al-Syamir berulang kali menyatakan hasrat itu, sejak bertugas di IPD Pasir Puteh, lapor Utusan Malaysia.
“Arwah pernah memberitahu hasrat untuk berhenti kerja sejak dia ditugaskan sebagai pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) IPD Pasir Puteh pada Mac lalu.
“Beliau berulang kali menyatakan hasratnya itu berikutan tekanan kerja yang dialami dan kami terkejut apabila dimaklumkan tentang kematiannya,” katanya.
Sharif berkata kali terakhir bertemu dengan anak sulungnya itu sewaktu menghantar arwah ke daerah tersebut selepas bermalam sehari di rumah mereka di sini pada Sabtu.
Bekas pelajar Maahad Hamidiah di sini ditemui mati kira-kira jam 9.40 pagi semalam di pejabatnya.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, SAC Din Ahmad dilapor berkata sebelum kejadian, mangsa melakukan rondaan sekitar daerah itu bermula pukul 8 malam hingga 8 pagi semalam.
Turut dilaporkan tangan kanan mangsa masih memegang sepucuk pistol jenis P99 Walther manakala tubuhnya berlumuran darah.
Sementara itu, Sharif dilapor berkata keluarganya turut meragui cara kematian Ahmad dan amat kesal penyebaran gambar dan keterangan kes hingga jadi bahan cemuhan.
Malah, katanya, ada dakwaan anaknya bertindak demikian kerana tidak dibenarkan bercuti untuk menziarahinya yang kononnya sakit.
“Sedangkan saya sihat dan baru bertemu dengannya beberapa hari lepas,” katanya yang mahu polis menyiasat secara menyeluruh kematian anaknya itu.
Polis sedang menyiasat punca kes yang diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.