by Oh! Semput
MELAKA, 28 Mei — Pengguna telefon bimbit dinasihati tidak meletakkan pengecas mudah alih (powerbank) berhampiran anggota badan terutama ketika tidur.
Pensyarah Kanan Jabatan Elektrik Kuasa, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia berkata semua disaran membeli pengecas mudah alih yang ada sistem perlindungan.
Dr Jasrul Jamani Jamian berkata pengecas mudah alih yang tiada sistem perlindungan litar pintas boleh menyebabkan kematian, lapor Berita Harian.
Katanya, pengaliran arus pada jantung (thermal runaway) hasil litar pintas dalam pengecas mengakibatkan kesan lecur jika terkena kulit.
Pengguna telefon bimbit disaran membeli pengecas mudah alih yang ada sistem perlindungan. — Foto AFP
Beliau berkata, voltan rendah tidak menyebabkan kematian tetapi nilai arus yang mengalir pada jantung menjadi punca.
“Sebagai contoh, 2.1 Ampere adalah nilai purata keluaran arus normal bagi pengecas mudah alih sedangkan nilai arus litar pintas boleh berlaku pada pengecas melebihi 100 Ampere,” katanya.
Syamirul Armizie Adenan, 19, mati dengan kesan kulit melecet pada bahu kiri berikutan terkena renjatan elektrik telefon bimbit yang dicaj menggunakan pengecas mudah alih.