by Oh! Semput
Pengguna yang bercadang membeli penyaman udara atau peti sejuk baharu boleh memanfaatkan Program Nikmat Untuk Rakyat (NUR@PETRA) 2026 yang menawarkan rebat sebanyak RM200 bagi pembelian peralatan elektrik cekap tenaga.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan permohonan Program NUR@PETRA 2026 bagi kategori Domestik akan dibuka mulai 1 Julai 2026, dengan pelaksanaannya dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA Malaysia).
Bagi tahun ini, kerajaan memperuntukkan 160,000 unit rebat dengan jumlah keseluruhan bernilai RM32 juta. Rebat RM200 tersebut boleh digunakan untuk pembelian penyaman udara atau peti sejuk yang mempunyai label kecekapan tenaga 4 atau 5 bintang daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) atau Energy Commission of Sabah (ECoS).
Menurut PETRA, inisiatif ini bertujuan menggalakkan lebih ramai pengguna beralih kepada penggunaan peralatan elektrik cekap tenaga. Selain menggunakan tenaga dengan lebih efisien, langkah itu juga boleh membantu mengurangkan bil elektrik isi rumah dalam jangka panjang.
Program NUR@PETRA Domestik dianggarkan mampu menjimatkan penggunaan tenaga elektrik sebanyak 552.25 gigawatt-jam (GWh) serta menghasilkan penjimatan kos kira-kira RM250.72 juta dalam tempoh lima tahun. Pada masa sama, ia dijangka menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon sebanyak 408,655 tan CO₂eq, bergantung kepada jangka hayat dan tahap kecekapan penggunaan peralatan tersebut.

Maklumat lanjut mengenai kriteria kelayakan, kaedah permohonan, mekanisme pelaksanaan serta senarai jenama dan model peralatan elektrik cekap tenaga yang layak boleh diperoleh melalui laman rasmi SEDA Malaysia.
{suggest}
Program NUR@PETRA 2026 Bermula Julai – Rebat RM200 Untuk Penyaman Udara, Peti Sejuk Cekap Tenaga WISER.MY.