by Oh! Semput
Seorang remaja lelaki didakwa mengalami kecederaan yang mengancam nyawa selepas diserang sekumpulan individu di sebuah kompleks kediaman di Cheras pada 5 Julai lalu.
Insiden itu kembali mendapat perhatian selepas rakaman video berdurasi satu minit 13 saat mengenai serangan tersebut mula tersebar luas di WhatsApp, sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai. Rakaman yang dipercayai dikongsikan oleh ibu mangsa itu didakwa menunjukkan anaknya dipukul oleh empat remaja.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihak polis menerima laporan daripada ibu mangsa pada pukul 12.45 tengah malam pada hari kejadian.

Bertindak atas laporan tersebut, pegawai daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras telah menahan empat remaja lelaki tempatan yang kesemuanya berusia 14 tahun bagi membantu siasatan.
Pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik salah seorang suspek yang dipercayai digunakan untuk merakam kejadian serangan tersebut. Rakaman video itu dijangka menjadi antara bukti penting dalam siasatan yang sedang dijalankan.
Motif serangan dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati atau dendam suspek terhadap mangsa. Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti keadaan sebenar yang membawa kepada kejadian tersebut.
Mangsa dilaporkan mengalami keretakan pada tengkorak, selain pendarahan dalaman di bahagian kepala dan telinga kanan sehingga menyebabkannya berada dalam keadaan kritikal.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah. Keempat-empat suspek telah direman bagi membantu siasatan, manakala kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut, lapor Malaysia Gazette.
Dalam satu kenyataan malam tadi, 21 Julai, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengesahkan kejadian tersebut berlaku di luar kawasan sekolah, iaitu di tingkat bawah sebuah blok perumahan awam.
Pihak jabatan memaklumkan bahawa mereka memandang serius kejadian pergaduhan tersebut, manakala pihak polis telah selesai menjalankan siasatan. Kes itu kini berada dalam proses perundangan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
Pukul Kawan Sehingga Retak Tengkorak, 4 Pelajar Usia 14 Tahun Terlibat Kes Buli Ditahan first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.