by Oh! Semput
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli hari ini melahirkan kebimbangan terhadap keadaan kewangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), yang katanya boleh menjejaskan keupayaan untuk memenuhi tanggungjawabnya kepada lebih 100,000 peneroka.
Rafizi, yang juga naib presiden PKR, berkata majoriti peneroka Felda bergantung kepada agensi persekutuan itu untuk bantuan penanaman semula kelapa sawit di tanah mereka.
Beliau menjelaskan bahawa kelapa sawit perlu ditanam semula apabila mencapai tempoh matang. Proses penanaman semula adalah sesuatu yang mahal dan kebiasaanya peneroka bergantung kepada Felda untuk menjalankan proses tersebut.
“Felda tidak lagi membuka penempatan baru sejak tahun 1990. Pokok-pokok kelapa sawit yang telah ditanam peneroka yang menyertai tanah rancangan pada lewat tahun 1980-an kini telah matang.
“Buat masa ini, cabaran paling besar bagi Felda dan peneroka berkisar kepada pengurusan tanah mereka.
“Sebarang gangguan kepada penanaman semula akan mempunyai kesan yang besar terhadap para peneroka kerana sawit adalah sumber pendapatan utama mereka,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Invoke Malaysia.
Memetik laporan tahunan 2014 Felda, Rafizi berkata perbelanjaan kasar bagi penanaman semula kelapa sawit adalah RM2.5 bilion, berbanding dengan pendapatan yang direkodkan Felda RM87.1 juta untuk tahun yang sama.
“Maksud saya adalah, Felda sudah bergelut untuk melakukan satu perkara yang menjadi sebab kewujudannya, iaitu untuk menjalankan penanaman semula untuk peneroka.
“Dan sekarang anda ingin membeli sebuah ladang di Indonesia yang harganya bernilai tiga kali ganda daripada harga yang sepatutnya.
“Perlu diingatkan bahawa ladang-ladang di Indonesia terkenal dengan prosedur operasi yang kompleks.”
Semalam, Rafizi mendakwa Felda membayar premium sebanyak 290% (RM2.26 bilion) untuk 37% kepentingan dalam PT Eagle High Plantations Tbk (EHP).
Rafizi juga mempersoalkan mengapa Felda masih belum membentangkan penyata kewangannya bagi Disember 31, 2015 kepada Ahli Parlimen, sambil menambah bahawa Felda berada dalam kesulitan dari segi kewangan syarikat selepas menunjukkan kerugian bersih sebanyak RM2.312 bilion pada tahun 2013 dan RM1.023 bilion pada 2014.
Rafizi memberi amaran bahawa apa-apa perbelanjaan kini hanya akan memburukkan lagi kedudukan kewangan Felda.
“Kebimbangan saya adalah bahawa Felda berada dalam keadaan yang terlalu buruk sekarang dan ia tidak dapat menjamin kehidupan peneroka untuk 20 tahun akan datang.”