by Oh! Semput
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P.Ramasamy telah merayu kepada Kementerian Pendidikan hari ini untuk memansuhkan program dwibahasa (DLP) dengan segera.
Beliau berkata kementerian telah memperkenalkan program DLP tanpa menjalankan kajian mendalam ke atasnya.
“Program DLP telah diperkenalkan tanpa perundingan dan maklum balas daripada pakar-pakar pendidikan dan orang awam, manakala beberapa pihak telah melabel DLP sebagai PPSMI versi baru,” katanya dalam sidang media di Komtar hari ini.
PPSMI merujuk kepada program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris yang diperkenalkan pada tahun 2002 tetapi telah dimansuhkan pada tahun 2012.
“Saya tidak menentang pembelajaran menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu tetapi jika mereka menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik, ia akan memberi kesan kepada keputusan sekolah-sekolah ini,” katanya.
Ramasamy berkata DLP adalah “bahaya kepada sekolah-sekolah jenis kebangsaan” di negara ini.
“Ia akan memusnahkan sekolah vernakular. Pendirian persatuan sekolah-sekolah Cina juga adalah sangat jelas, mereka tidak mahu kerana mereka mahu melindungi ciri-ciri sekolah Cina,” katanya.
“Saya tidak akan terkejut jika di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan digantikan pada masa akan datang juga,” katanya.
Beliau percaya ada motif jahat di sebalik pengenalan DLP ke sekolah-sekolah vernakular terutamanya dengan perkembangan baru-baru ini di mana 49 buah sekolah Tamil telah dipilih untuk melaksanakan DLP, empat daripada mereka di Pulau Pinang.
“Walaupun sekolah kononnya diberi peluang untuk menerima atau menolak DLP, kami percaya bahawa mereka mungkin telah ditipu untuk menerima program ini dengan janji-janji lebih banyak peruntukan akan diberikan kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan sekolah-sekolah vernakular Cina tidak akan mendapat manfaat daripada DLP, tetapi sebaliknya, program ini mungkin memusnahkan penggunaan kedua-dua bahasa di sekolah masing-masing.
“Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina atau Dong Zong dan lain-lain persatuan sekolah Cina termasuk 50 NGO Tamil di Pulau Pinang juga telah menolak DLP,” kata beliau.
Beliau berkata kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk membentuk satu pasukan petugas khas untuk menentang pelaksanaan DLP di sekolah-sekolah jenis kebangsaan di negeri ini, sebagai tambahan kepada bantahan besar-besaran terhadap program ini.
Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan DLP kepada kira-kira 300 sekolah di negara ini pada 2016.