by Oh! Semput
KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, hari ini meminta PAS 'menghantar tanda' jika parti itu benar-benar berminat untuk bekerjasama di negeri berkenaan.
Menariknya, Wan Rosdy menyampaikan pesanan itu melalui pantun semasa menggulung perbahasan belanjawan 2027.
Untuk rekod PAS menyatakan hasrat mereka untuk bekerjasama itu juga melalui pantun yang diucapkan ketua pembangkang merangkap ADUN Cheka, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Semasa menggulung itu Wan Rosdy yang juga seorang daripada tiga Naib Presiden UMNO berpantun:
"Pinang muda di dalam dulang,
Sekapur sirih pembuka bicara;
Adat dijaga sebelum meminang,
Merisiklah dulu hantarlah tanda.
Pandang atas nampak biru,
Pandang bawah pun nampak biru,
Pandang kanan nampak macam nak bertemu,
Tapi bila pandang kiri nampak keliru."
Menurut Wan Rosdy, dia berpendapat suasana di dalam DUN menampakkan PAS yang kini menguasai PN berminat untuk bekerjasama namun keadaan ditafsir berbeza di luar.
“Di luar dewan macam tak nak berkawan," katanya selepas membaca pantun itu.
PAS Pahang sebelun ini memaklumkan mereka tidak bercadang menghentikan siri jelajah PAS Teraju Pahang yang dimulakan parti itut sejak September 2022.
Walaupun berlaku persefahaman antara PN dan BN ketika PRN Johor, Negeri Sembilan dan Melaka sebelum ini, namun kerjasama antara kedua-dua gabungan parti itu belum dimuktamadkan di Pahang.
Malah pada Okt tahun lalu, kemuncak jelajah anjuran PAS dan PN itu diadakan di kawasan Wan Rosdy sendiri menerusi program Hogoh Jelai.
Untuk rekod, Jelai ialah kawasan DUN yang diwakili Wan Rosdy sendiri.
Program itu turut menyaksikan pelancaran jentera pilihan raya PAS-PN Pahang.
Wan Rosdy turut mempersoalkan keikhlasan PAS kerana di sebalik beberapa kenyataan dibuat parti itu sebelum ini yang mahu menghidupkan penyatuan ummah namun tetap menggerakkan program yang mahu mengetepikan UMNO-BN.
Misalnya, kata menteri besar itu, siri jelajah PAS Teraju Pahang yang masih diteruskan.
Katanya keadaan itu menimbulkan kekeliruan bukan saja dalam kalangan pemimpin parti malah di peringkat akar umbi.
Tuan Ibrahim kemudian bangun dan mencadangkan perkara itu dibincangkan kemudian di luar sidang DUN.
Ketika menutup perbahasan Belanjawan Pahang 2027 pada Isnin lalu, Tuan Ibrahim menyampaikan dua rangkap pantun yang kedengaran seperti ‘merisik’ BN.
Dia menyampaikan pantun:
“Mendongak ke langit nampak biru,
Merenung ke bumi nampak hijau;
Apa makna negara maju,
Tanpa taqwa semuanya akan jadi kacau,”
“Satu, dua, tiga, empat,
Bila pula Pahang nak berpakat;
Rakyat menanti penuh semangat,
Semoga Pahang terus berkat.”
Sementara itu, menjawab soalan dikemukakan Datuk Andansura Rabu (PN-Beserah) mengenai tunggakan premium tanah dan denda FGV, Wan Rosdy memaklumkan kerajaan negeri bersetuju melanjutkan tempoh bayaran berjumlah RM72.36 juta dan RM498.7 juta sehingga 30 November ini.
"Rundingan telah diadakan bersama FGV dan Felda, termasuk beberapa siri rundingan yang diketuai sendiri oleh saya bersama Pengerusi Felda dan Menteri Kewangan Kedua.
"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri turut memutuskan tuntutan premium sebanyak RM72.364 juta dibayar terlebih dahulu oleh FGV, manakala rayuan denda premium berjumlah RM498.7 juta akan dibincangkan selepas bayaran premium dibuat.
"Felda bagaimanapun memohon lanjutan tempoh bayaran, dan kerajaan negeri bersetuju melanjutkan tempoh tersebut sehingga hujung bulan ini," katanya. #Malaysiakini