by Oh! Semput
KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang tegas berpegang dengan komitmen secara bertulis FGV Holdings Berhad (FGV) berhubung pembayaran tunggakan premium tanah berjumlah RM72.364 juta pada 30 November ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri sudah mengadakan rundingan dengan FGV serta Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengenai pembayaran tunggakan premium tanah itu serta denda premium berjumlah RM498.7 juta yang masih belum dilunaskan.
“Saya sendiri turut mengetuai beberapa siri rundingan sebelum ini dengan Pengerusi Felda dan Menteri Kewangan Ke-2 malah beberapa keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) juga telah dikeluarkan bagi menetapkan kaedah dan jalan penyelesaian, termasuk memutuskan tuntutan premium sebanyak RM72.364 juta dibayar terlebih dahulu oleh pihak FGV.
“Sebagai buktinya, ada surat daripada FGV yang memohon lanjutan masa sehingga 30 November bagi membayar hutang tersebut,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan Belanjawan Pahang 2027 pada Mesyuarat ke-3, Penggal ke-5, Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Bagaimanapun, kata Wan Rosdy, berdasarkan perkembangan tebaru yang diterima pada pukul 9.30 pagi tadi, Felda memaklumkan masih belum menerima arahan atau ketetapan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan isu itu akan dibentangkan semula dalam Mesyuarat Lembaga Felda pada bulan Januari 2027.
“Saya tahu tindakan saya ini mungkin tidak popular terhadap Kerajaan Persekutuan sebab saya bangkitkan dalam dewan ini.
“Tapi, saya tiada pilihan lain sebab secara hitam putih mengatakan pembayaran dipersetujui dibuat pada 30 November ini,” katanya. #MalaysiaGazette