by Oh! Semput
Tindakan undang-undang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap Google LLC berhubung kandungan memudaratkan di YouTube tidak akan menjejaskan komitmen pelaburan berbilion ringgit syarikat itu di Malaysia.
Memetik laporan Bernama, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata jaminan itu diperoleh selepas beliau berhubung secara langsung dengan Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat, semalam bagi membincangkan isu pematuhan kawal selia tempatan serta kerjasama menangani kandungan perjudian dalam talian.
“Semalam saya dapat hubungi Ruth Porat sendiri dan dia menjawab akan bekerjasama menangani masalah ini. Jadi ia tidak akan menjejaskan (pelaburan) sebenarnya,” katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menjelaskan tindakan saman itu melibatkan aspek pematuhan terhadap kerangka kawal selia negara bagi melindungi pengguna daripada kandungan memudaratkan, dan tidak mempunyai kaitan dengan pelaburan gergasi teknologi itu.
“Ia adalah dua perkara yang berbeza kerana dari segi kawal selia, kita mempunyai satu pandangan yang mana rakyat Malaysia tidak harus didedahkan kepada kandungan memudaratkan seperti yang termaktub dalam Akta Keselamatan Dalam Talian.. Tapi saya percaya kita inginkan satu keadaan yang dapat dimurnikan, dan kita percaya pihak-pihak yang berkaitan.. kita harap mereka akan dapat berikan kerjasama,” katanya.
Dalam menangani isu berkenaan, beliau menjelaskan MCMC akan merujuk kepada akta tersebut serta Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian bagi menentukan takrifan kandungan yang dianggap memudaratkan.
Untuk rekod, Google sebelum ini mengumumkan pelaburan sebanyak AS$15 bilion (~RM61.1 bilion) di Malaysia bagi tempoh 2027 hingga 2028, merangkumi peluasan infrastruktur digital, pembangunan pusat data serta inisiatif tenaga bersih dan pengurusan sumber air.
Mengulas mengenai perkembangan isu tarif perdagangan AS, Perdana Menteri berkata Washington wajar meneliti semula sebarang cadangan pengenaan tarif ke atas produk cip semikonduktor yang dikeluarkan syarikat negara itu di Malaysia untuk dieksport semula ke pasaran AS.
Gambar utama: Facebook//Anwar Ibrahim
{suggest}
Saman MCMC Tidak Jejas Pelaburan Berbilion Ringgit Google Di Malaysia – PM Anwar WISER.MY.