by Oh! Semput
Pelakon dan pengacara, Yana Samsudin meluahkan rasa syukur apabila dipilih menerima Anugerah Ikon Inspirasi Pembelajaran Sepanjang Hayat pada Malam Anugerah Mercu Sanjung (MARS) 2025 anjuran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan, Kampus Gambang, semalam.
Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin, 41, menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu penghargaan besar bukan sahaja buat dirinya, malah kepada semua alumni yang terus dihargai pihak universiti.
“Alhamdulillah dan terima kasih kepada pihak UMPSA kerana anugerah ini. Saya juga berasa gembira kerana alumni seperti kami juga dihargai,” katanya.

Dalam masa sama, Yana turut merakamkan penghargaan kepada ahli keluarga yang banyak menyokong perjalanan akademiknya hingga berjaya menamatkan pengajian.
“Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapa, suami dan mereka yang banyak membantu dalam perjalanan saya untuk menamatkan pengajian dan memperbaiki hidup ini,”katanya lagi.

Mengulas lanjut, pemegang Ijazah Sarjana Pengurusan Korporat UMPSA itu berkata, dorongan utama untuk kembali menyambung pelajaran datang daripada anak-anaknya sendiri.
“Saya akui anak-anak yang mula menjadi inspirasi kerana saya mahu menjadi contoh kepada mereka walaupun ‘mummy’ sudah tua tapi masih nak sambung belajar,” katanya.
Tambahnya, pengalaman itu juga menjadi titik tolak untuk dia memberi inspirasi kepada masyarakat agar tidak menjadikan usia sebagai penghalang menimba ilmu.
Pada masa sama, isteri kepada pelakon Fadzil Zahari itu turut menitipkan pesanan kepada golongan muda agar terus menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Saya juga nak beri galakan kepada anak muda di luar sana walaupun ‘kak yong’ sudah tua tapi tetap boleh sambung belajar lagi. Kepada mereka yang baru lepasan SPM dan tidak tahu mahu sambung belajar di universiti mana, anda boleh pilih UMPSA,” katanya.