Samsung Peneraju Pembangunan Teknologi Peranti Pintar Boleh Lipat

by Oh! Semput


5
SHARES
62
VIEWS
Posted on 25 Sep 2026 14:00:41

Hari ini, peranti pintar dengan skrin boleh lipat bukanlah sesuatu yang asing lagi. Jika anda berkemampuan, terdapat banyak jenama peranti pintar seperti Google, Huawei, Oppo, Samsung, malah Apple juga kini tampil dengan penawaran peranti boleh lipat mereka sendiri.

Tetapi jika kita melihat kepada syarikat manakah yang telah paling banyak menaburkan wang, masa dan kepakaran dalam membina genre peranti ini, tidak banyak syarikat yang boleh menandingi Samsung yang telah memperkenalkan siri peranti boleh lipat pertama mereka sejak tahun 2019 lagi.

Samsung Galaxy Fold dilancarkan pada pertengahan tahun 2019 dan memperlihatkan bagaimana sebuah peranti dengan paparan bersaiz 4.6 inci dari luar boleh dibuka, memperlihatkan paparan skrin dalaman bersaiz 7.3 inci, menggunakan panel skrin Infinity Flex Display yang merupakan salah satu daripada panel skrin boleh-lipat pertama yang diperkenalkan untuk industri peranti pengguna.

Dengan pengenalan peranti Samsung Galaxy Fold, Samsung juga telah menambahkan ciri-ciri perisian baharu seperti App Continuity untuk membolehkan pengguna terus menggunakan aplikasi dari paparan Cover Screen ke paparan Infinity Flex tanpa perlu memulakan semula aplikasi, dan Multi Active Window untuk membolehkan mereka menggunakan dua aplikasi secara sekaligus.

Generasi kedua peranti boleh-lipat Samsung memperlihatkan mereka memperkenalkan penjenamaan Samsung Galaxy Z sebagai penanda bahawa peranti pintar boleh lipat mereka adalah dalam kategori peranti yang tersendiri. Siri ini juga merupakan pengenalan kepada sebuah lagi peranti boleh lipat, Samsung Galaxy Z Flip yang merupakan interpretasi Samsung terhadap peranti flip phone yang cukup popular satu ketika dahulu.

Generasi kedua peranti boleh lipat mereka memperlihatkan penggunaan kaca Ultra Thin Glass (UTG) yang merupakan generasi pertama “kaca boleh lipat” mereka, menggantikan panel polikarbonat yang digunakan pada generasi sebelumnya. 

Paparan Cover Display di luar juga hadir dengan saiz lebih besar, 6.2 inci yang menjadi asas kepada rekaan paparan peranti-peranti Samsung Galaxy Z Fold yang akan datang.

Kemaskini dari segi perisian pula memperlihatkan Flex Mode yang diperkenalkan untuk pertama kalinya, membolehkan peranti-peranti boleh lipat Samsung digunakan dalam lebih banyak cara lagi, seperti separa menegak untuk kedua-dua peranti Z Fold2 dan Z Flip.

Sehingga kini, prestasi siri peranti Samsung Galaxy Z Fold dan keunikan yang ditawarkan oleh peranti Samsung Galaxy Z Flip tidak dinafikan, tetapi satu isu yang dilihat membelenggu pengguna-pengguna sedia ada adalah dari segi ketahanan fizikal skrin dan juga peranti terhadap air dan debu. Isu debu dan kotoran khususnya menjadi satu isu yang serius kerana pada waktu tersebut, kotoran yang terperangkap diantara skrin besar ataupun engsel peranti apabila dilipat boleh menyebabkan skrin rosak dengan cepat.

Untuk memperbaiki isu ini, Samsung Galaxy Z Fold3 dan Samsung Galaxy Z Flip3 tampil menggunakan rangka Armor Aluminum, iaitu bahan sama yang digunakan pada peranti-peranti pintar kelas mercu Samsung. Penggunaan rangka ini dilihat memberikan peranti-peranti boleh lipat Samsung ketahanan fizikal yang jauh lebih baik, dimana ia lebih tahan lasak apabila peranti jatuh secara tidak sengaja. Ini juga merupakan siri peranti Samsung Galaxy Z pertama yang tampil dengan ketahanan air IPX8.

Paparan skrin Samsung Galaxy Z Fold3 dan Z Flip3 juga dilihat lebih cerah dan cantik berbanding dengan model-model sebelum ini, memberikan olahan warna, kecerahan dan sudut pandangan cantik apabila video ditonton dengan skrin dalaman yang lebih besar walaupun menggunakan panel Dynamic AMOLED 2X yang sama seperti model sebelumnya.

Samsung Galaxy Z Fold4 dan Samsung Galaxy Z Flip4 pula tidak menunjukkan perbezaan yang banyak berbanding dengan penawaran model sebelumnya dari segi rekaan, akan tetapi satu perubahan penting yang dibuat dapat dirasakan melalui engsel yang pada waktu tersebut lebih mudah untuk dibuka, dan tidak begitu ketat berbanding dengan model sebelumnya.

Dalam pada itu, saiz Z Fold4 juga sedikit lebih pendek dengan paparan Cover Screen yang lebih lebar, dimana Samsung telah mengurangkan saiz bezel paparan, membolehkan mereka mengekalkan rekaan hampir sama tetapi menjadikan peranti lebih selesa untuk dipegang dan digunakan., 

Samsung Galaxy Z Fold4 juga merupakan peranti pintar pertama yang tampil dengan sistem operasi Android 12L, yang memperlihatkan paparan dalaman tampil dengan rekaan seakan “desktop” untuk memudahkan pengguna menggunakan pelbagai aplikasi berbeza dengan skrin dalaman.

Dalam pada itu, Samsung Galaxy Z Flip4 juga memperlihatkan ciri FlexCam untuk pertama kalinya, yang memudahkan pengambilan gambar dan video melalui kamera swafoto dan juga QuickShot yang membolehkan gambar dan video dirakam melalui paparan Flex Window apabila peranti dilipat.

Sekali lagi, Samsung Galaxy Z Fold5 tidak memperlihatkan perbezaan ketara berbanding dengan peranti sebelumnya, akan tetapi Samsung telah memperbaharui engsel yang digunakan dengan Flex Hinge baharu, yang menyelesaikan masalah paparan tidak boleh dilipat dengan “sempurna” tanpa ruang diantara lipatan. 

Antaramuka paparan dalaman juga telah dikemaskini, khususnya ciri “desktop” yang kini membolehkan pengguna untuk menggunakan aplikasi berbeza dengan lebih mudah. Flex Window pada model Z Flip5 juga tampil dengan sokongan widget yang lebih meluas.

Samsung Galaxy Z Fold6 memperlihatkan perbezaan ketara dari segi rekaan, menggabungkan engsel Flex Hinge model sebelumnya dengan rekaan peranti yang lebih petak berbanding sebelumnya, yang memberi peranti ini rupa yang lebih “serius” dan premium berbanding model sebelumnya. Samsung Galaxy Z Fold6 juga merupakan peranti pintar boleh lipat pertama mereka yang tampil dengan piawaian kalis air dan debu IP48, selain daripada ketahanan fizikal melalui penggunaan rangka Armor Aluminum terbaru.

Kedua-dua peranti Samsung Galaxy Z Fold6 dan Samsung Galaxy Z Flip6 dilihat tampil dengan pelbagai ciri-ciri AI baru yang diperkenalkan oleh Samsung yang memanfaatkan fungsi multi-paparan dan juga Flex Window untuk pelbagai tujuan produktiviti dan juga riadah.

Siri peranti Samsung Galaxy Z Fold7 dan Samsung Galaxy Z Flip7 memperlihatkan perubahan paling ketara dalam aspek rekaan dan juga kemampuan peranti-peranti boleh lipat Samsung.

Samsung Galaxy Z Fold7 khususnya memperlihatkan rekaan yang jauh lebih nipis berbanding model-model sebelumnya pada 8.9mm apabila dilipat, dan juga merumahkan modul kamera sama yang diperlihatkan pada Samsung Galaxy 27 Ultra dengan modul kamera 200MP, menjadikan peranti ini peranti kelas mercu dari aspek keseluruhan. Peranti ini juga dilihat telah meminimakan kesan lipatan dan juga bonggol engsel yang ketara.

Samsung Galaxy Z Flip7 pula tampil dengan skrin Flex Window bersaiz 4.1 inci yang menggunakan keseluruhan bahagian panel belakang, memaksimakan bukan sahaja saiz widget, tetapi juga kepelbagaian aplikasi yang boleh digunakan tanpa pengguna perlu membuka lipatan peranti.

2026 pula memperlihatkan Samsung menawarkan peranti baharu dalam siri peranti ini, iaitu Samsung Galaxy Z Fold8 yang hadir dengan rekaan bersaiz pasport, membolehkan mereka memperkenalkan peranti dengan rekabentuk yang lebih besar sebagai Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra. 

Model Samsung Galaxy Z Fold8 diperkenalkan sebagai sebuah peranti lebih kecil yang lebih disesuaikan untuk penggunaan kasual, manakala Z Fold8 Ultra pula kini dipasarkan untuk mereka yang mahukan prestasi produktiviti semua dalam satu dengan semua ciri-ciri khas peranti boleh lipat mereka seperti Flex Mode dan Multi Active Window yang telah dikemaskini.

Model Z Fold8 Ultra tampil dengan engsel baharu yang dinamakan Armor Flexhinge yang menggunakan logam titanium untuk engsel yang lebih kuat tetapi juga membolehkan paparan dibuka dengan mudah.

Samsung Galaxy Z Fold8 dan Z Fold8 Ultra merupakan peranti boleh lipat pertama mereka yang tampil dengan sokongan untuk teknologi kecerdasan buatan Gemini Notebook yang merupakan penjenamaan semula daripada teknologi pembantu AI NotebookLM.

Gemini Notebook mengumpulkan nota, imej dan rakaman dalam satu ruang kerja serta mengubahnya menjadi ringkasan mesyuarat dan dokumen ataupun ringkasan audio untuk rumusan yang cepat dan mudah difahami. Dengan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra, khususnya, 

Dengan Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra khususnya, anda boleh menggunakan skrin dalaman yang besar untuk menarik dokumen dan fail yang anda mahu gunakan untuk merumuskan tugasan harian anda dengan cepat dan mudah, dan lihat sendiri dalam masa nyata bagaimana Gemini Notebook melakukannya.

Fungsi perkongsian fail Android Quick Share pada peranti Samsung Galaxy Z Fold8 dan Z Fold8 Ultra juga tampil dengan kemampuan untuk berkongsi fail secara nirwayar dengan peranti-peranti lain secara cepat dan mudah.

Fungsi ini tidak terhad kepada peranti-peranti Android sahaja, tetapi dengan peranti terbaru Samsung, ciri perkongsian ini boleh dipanjangkan kepada komputer Microsoft Windows dan juga peranti-peranti Apple iPhone, iPad dan MacBook.

Jika anda mahu cuba menggunakan siri peranti Samsung Galaxy Z Fold8, Z Fold8 Ultra ataupun Samsung Galaxy Z Flip8, anda juga boleh melakukannya dengan mudah melalui aplikasi pertukaran peranti Samsung Smart Switch.

Dengan OneUI 9.0 terbaru, anda tidak lagi perlu memuat-turun aplikasi Smart Switch untuk menukar kepada peranti Samsung. Anda hanya perlu mengimbas kod QR yang tertera menggunakan peranti lama anda (Android dan iOS), dan aplikasi tersebut pada peranti Samsung baru akan melengkapkan pertukaran tersebut untuk anda tanpa perlu melakukan apa-apa selepas itu.

Anda dapat lihat bahawa dari sejarah pembangunan siri peranti boleh lipat Samsung bahawa selain daripada pembangunan teknologi lipatan, kaca skrin dan engsel paparan, mereka juga mementingkan pembangunan bahagian perisian dan ciri-ciri peranti untuk memastikan bahawa pengalaman keseluruhan penggunaan peranti-peranti ini adalah sebaik yang mungkin.

Tidak dinafikan bahawa pada tahun ini, terdapat banyak jenama-jenama peranti pintar lain yang tampil dengan penawaran peranti pintar boleh lipat mereka tersendiri, Samsung boleh dikatakan adalah satu-satunya jenama setakat ini yang menawarkan kepelbagaian dari segi model, ciri-ciri dan pengalaman penggunaan yang khusus untuk setiap peranti.

Penafian: Ini adalah sebuah advertorial oleh Samsung Malaysia

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts