by Oh! Semput
Pratempahan set kepala VR Steam Frame dibuka hari ini 10 bulan selepas ia diumumkan November tahun lalu. Steam Frame ialah set kepala yang dipasarkan untuk bersaing dengan Meta Quest sebagai set kepala VR pilihan gamer.

Steam Frame berfungsi secara kendiri tanpa memerlukan sambungan kepada PC atau konsol. Ia menggunakan sistem operasi SteamOS 3, dilengkapi dwi skrin LCD dengan resolusi 2160 x 2160 pixel, cip Snapdragon 8 Gen 3, memori 16GB LPDDR5X, storan sehingga 1TB dan bateri 21.6 Wh.

Di luar terdapat empat kamera untuk penjejakan ruang, dua lagi kamera di bahagian dalam untuk menjejak pergerakan mata serta pemancar IR untuk melihat dalam gelap. Terdapat sensor mengesan pergerakan untuk menjejak pergerakan pemakai.

Pek bateri diletakkan di bahagian kepala untuk mengimbangi berat di bahagian hadapan. Setiap Steam Frame adalah seberat 440g. Turut disertakan ialah empat speaker, sokongan Wi-Fi 7 dan bluetooth 5.3.
Steam Frame direka untuk dimainkan bersama dua alat kawalan yang berkongsi banyak elemen dengan Steam Controller cuma pada bahagian pemegang terdapat sensor kapasitif mengesan empat jari. Ia menyokong sistem haptik dan hanya memerlukan satu sel bateri AA yang menawarkan 40 jam penggunaan. Steam Frame akan mula dijual tahun hadapan tetapi harga belum lagi diumumkan.
Steam Frame dijual pada harga $1,059 (~RM4315) untuk model 256GB dan $1,299 (~RM5293)untuk model 1TB.