by Oh! Semput
Penerbit dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam mengesahkan beliau dimaklumkan mengenai penahanan seorang pelakon wanita drama Gerak Khas 2.0 yang disyaki positif dadah methamphetamine dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di ibu negara.
Memetik laporan daripada Utusan Malaysia, beliau menyatakan sebelum ini sudah beberapa kali mengingatkan pelakon terbabit agar menjaga tingkah laku dan imej memandangkan memegang watak sebagai anggota polis.

Yusof mendedahkan, beliau bukan sahaja mengetahui rutin pelakon tersebut, malah telah dua kali memberikan nasihat supaya mengurangkan kunjungan ke pusat hiburan kerana bimbang boleh mencemarkan imej drama yang diterbitkannya.

Terdahulu, seorang pelakon wanita yang membintangi drama kepolisan ditahan bersama 17 individu lain dalam serbuan yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sebuah pusat hiburan di ibu negara selepas disyaki positif dadah methamphetamine.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam sebelum ini mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes masih dalam siasatan.
: Utusan Malaysia (Al Faizal Abdul Karim)