by Oh! Semput
KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengadakan pertemuan dua hala bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Abdullah Zayed Al Nahyan, di Abu Dhabi, hari ini.
Menurut perkongsian di laman Facebook Kesultanan Pahang, pertemuan itu diadakan bersempena keberangkatan Al-Sultan Abdullah ke negara berkenaan.
Pertemuan itu menjadi platform penting bagi kedua-dua pemimpin bertukar pandangan, khususnya mengenai isu serantau dan membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama.
"Selain itu, pertemuan itu turut membuka ruang untuk meneroka potensi kerjasama yang lebih luas, termasuk dalam hubungan kemanusiaan," menurut hantaran itu.
Hantaran itu memaklumkan kerjasama strategik yang dapat diperkukuh menerusi pertemuan itu diharap menjadi pemangkin kepada hubungan yang lebih erat antara kedua-dua pihak, selain menarik minat pelabur dari negara berkenaan untuk meneroka peluang pelaburan dalam sektor berpotensi di negeri ini. #BeritaHarian