Suspek Ceroboh Stesen Jalan Meru Ditahan, Tren LRT3 Tergendala 30 Minit

by Oh! Semput


3
SHARES
44
VIEWS
Posted on 21 Jul 2026 15:01:24

Perkhidmatan Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Shah Alam mengalami gangguan sementara selama kira-kira 30 minit pagi tadi selepas seorang individu dipercayai menceroboh kawasan landasan di Stesen Jalan Meru, Klang.

Rapid KL memaklumkan bahawa sebaik sahaja kejadian dikesan, petugas operasi bersama anggota Polis Bantuan bertindak segera mengesan dan menahan suspek sebelum menyerahkannya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut. Suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Bandar Baru Klang bagi tindakan selanjutnya.

Bagi memastikan keselamatan penumpang dan kelancaran operasi, perkhidmatan tren di antara Stesen Jalan Meru dan Stesen Jambatan Kota dihentikan sementara bagi membolehkan pemeriksaan keselamatan serta tindakan penguatkuasaan dijalankan di lokasi kejadian. Operasi tren disambung semula selepas landasan disahkan selamat untuk digunakan.

Rapid KL turut memaklumkan pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam membantu siasatan berhubung insiden berkenaan.

Pengendali pengangkutan awam itu turut memohon maaf kepada para penumpang atas kesulitan yang berlaku dan menegaskan bahawa aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap operasi perkhidmatan rel.

Dalam pada itu, orang ramai diingatkan supaya tidak memasuki kawasan landasan kerana tindakan sedemikian bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mengundang risiko kemalangan yang serius. Penumpang juga disaran supaya segera memaklumkan kepada petugas stesen atau anggota Polis Bantuan sekiranya melihat sebarang perlakuan mencurigakan bagi memastikan keselamatan semua pengguna perkhidmatan sentiasa terpelihara.

Suspek Ceroboh Stesen Jalan Meru Ditahan, Tren LRT3 Tergendala 30 Minit first appeared on #1 The News Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts