Tenaga Pengajar GiatMARA Maut, 2 Anak Cedera Kereta Bertembung Lori

by Oh! Semput


4
SHARES
47
VIEWS
Posted on 25 Aug 2026 11:30:43

Seorang tenaga pengajar GiatMARA maut selepas Perodua Alza yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Kota Belud-Tuaran berhampiran Taman Nikmat, Kota Belud, pagi tadi.

Kemalangan kira-kira jam 11.05 pagi itu mengorbankan Norasida Mayur, 42, yang tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Khairul Shah Peri berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun dari arah Kota Belud menuju Tuaran.

Pada masa sama, mangsa bersama tiga anaknya yang berusia antara 15 hingga 18 tahun dipercayai dalam perjalanan dari arah bertentangan.

Setibanya di lokasi, Perodua Alza berkenaan dipercayai memasuki laluan lori sebelum kedua-dua kenderaan bertembung.

Akibat perlanggaran itu, kereta mangsa berpusing sebelum berhenti dalam keadaan menghadap ke arah Tuaran, manakala lori terbabit pula terbabas dan berhenti berhampiran sebuah kedai makan di tepi jalan.

Mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh pasukan penyelamat sebelum disahkan meninggal dunia. Mayatnya kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk tindakan lanjut.

Dua daripada anak mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Kota Belud bagi mendapatkan rawatan. Seorang lagi anaknya yang berusia 17 tahun bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan bagi membantu siasatan.

Polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan punca sebenar kemalangan, termasuk keadaan yang menyebabkan Perodua Alza dipercayai memasuki laluan bertentangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kota Belud bagi membantu siasatan.

Tenaga Pengajar GiatMARA Maut, 2 Anak Cedera Kereta Bertembung Lori first appeared on #1 The News Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts