by Oh! Semput
Pulsar dan Noctua memperkenalkan Feinmann F01 Noctua Edition, sebuah tetikus gaming yang tampil dengan ciri ‘luar biasa’ iaitu kipas penyejuk terbina di dalam bagi membantu memastikan tapak tangan kekal sejuk ketika sesi permainan.
Model edisi khas ini dibangunkan berasaskan Pulsar Feinmann F01 yang memenangi pelbagai anugerah, dengan integrasi kipas Noctua NF-A4x10 40mm.
Digabungkan bersama reka bentuk badan berlubang menggunakan bahan komposit karbon, aliran udara dapat disalurkan terus ke tapak tangan bagi mengurangkan peluh dan mengekalkan cengkaman ketika bermain.
Tetikus seberat 73 gram itu membolehkan pengguna melaras kipas kepada empat tahap kelajuan atau mematikannya sepenuhnya melalui kombinasi butang pada tetikus, butang pada dongle, atau pemacu berasaskan web.

Dari segi prestasi, Feinmann F01 Noctua Edition dilengkapi sensor Pulsar XS-2 dengan kadar pensampelan sehingga 8,000Hz, resolusi 42,000 DPI dan kelajuan penjejakan 800 IPS. Ia turut menggunakan suis optikal yang dikatakan mampu bertahan sehingga 100 juta klik.
Tetikus ini menyokong penggunaan secara wayarles menerusi dongle 8K yang disertakan atau berwayar melalui sambungan USB-C, yang turut digunakan untuk mengecas bateri.
Menurut Noctua, prototaip awal produk ini mendapat sambutan menggalakkan ketika dipamerkan di Computex 2025.
Syarikat itu turut menjalankan pelbagai ujian bagi memastikan kipas mampu beroperasi dengan baik walaupun berdepan pergerakan pantas dan daya hentakan ketika permainan kompetitif.
Pulsar Feinmann F01 Noctua Edition ditawarkan pada harga AS$179.95 (sekitar RM760) dan kini boleh didapati menerusi kedai dalam talian Pulsar serta pengedar sah.
{suggest}
Tetikus Gaming Ini Dilengkapi Kipas Noctua Untuk Sejukkan Tapak Tangan WISER.MY.