by Oh! Semput
TikTok Shop akan melaraskan semula yuran komisen bagi penjual Marketplace dan Mall, berkuat kuasa 31 Oktober 2026.
Pelarasan ini menyaksikan kadar komisen bagi kebanyakan kategori produk meningkat. Namun begitu, kadar komisen bagi barangan keperluan harian dan kategori keperluan asas terpilih akan dikurangkan atau dikekalkan pada kadar semasa.
Kadar yang dikenakan juga berbeza mengikut kategori produk dan jenis kedai. Sebagai contoh, bagi penjual Marketplace yang tidak menyertai Bonus Extra Program (BXP), kadar komisen untuk kategori Mandian & Penjagaan Badan meningkat daripada 15.12% kepada 16.74%, termasuk SST. Sebaliknya, bagi kategori asas Penjagaan Feminin, kadar untuk kumpulan penjual yang sama turun daripada 14.58% kepada 12.10%.
Penjual yang menyertai BXP pula terus menikmati kadar komisen lebih rendah berbanding penjual yang tidak menyertai program itu.
TikTok Shop turut mengekalkan sistem komisen berasaskan jualan, iaitu penjual hanya dikenakan komisen apabila jualan berlaku. Tiada caj tetap, caj penyenaraian atau caj bulanan baharu diperkenalkan susulan pelarasan ini. Sementara itu, pesanan yang dibuat sebelum 31 Oktober 2026 masih dikenakan pada kadar komisen sedia ada.
Menurut pengumuman TikTok Shop, pelarasan ini merupakan sebahagian daripada strategi pelaburan semula platform dan akan disalurkan semula ke dalam inisiatif yang merangsang permintaan pengguna, memperkukuh sokongan kepada penjual serta membangunkan ekosistem e-dagang yang mampan.
Jadual lengkap kadar komisen boleh dirujuk melalui halaman TikTok Shop Seller.
TikTok Shop Naikkan Kadar Komisen Bagi Kebanyakan Kategori – Berkuat Kuasa 31 Oktober 2026 WISER.MY.