“Tinggi” Satukan Malaysia dan Indonesia Dalam Kolaborasi Muzik Nusantara

by Oh! Semput


4
SHARES
47
VIEWS
Posted on 09 Jul 2026 11:31:34

Muzik terus menjadi medium yang merapatkan hubungan serumpun apabila duo hip hop Malaysia, Kmy Kmo & Luca Sickta, berganding buat pertama kali dengan penyanyi sinden Indonesia, Niken Salindry, menerusi single terbaharu berjudul “Tinggi”. Kolaborasi rentas negara ini menggabungkan elemen rap Melayu dan vokal tradisional Jawa dalam sebuah karya yang meraikan keindahan budaya Nusantara.

Single tersebut merupakan sebahagian daripada album terbaharu Gong dan tampil dengan mesej yang menekankan kepentingan memelihara warisan, martabat, budi serta jati diri dalam dunia moden yang semakin menjauh daripada nilai budaya. Melalui lirik yang puitis dan susunan muzik yang unik, lagu ini membawa pengertian bahawa kebesaran seseorang tidak diukur melalui pangkat, kuasa atau kekayaan, sebaliknya melalui jasa, nilai murni dan legasi yang ditinggalkan.

Menurut Kmy Kmo dan Luca Sickta, karya itu dihasilkan dengan hasrat untuk memperkenalkan semula keindahan budaya kepada generasi muda melalui pendekatan muzik yang lebih segar dan kontemporari. Mereka percaya muzik mampu menjadi bahasa sejagat yang menyatukan masyarakat tanpa mengira sempadan negara, selain membuktikan bahawa budaya Nusantara masih relevan untuk diketengahkan dalam arus muzik moden.

Bagi Niken Salindry, penyertaannya dalam projek tersebut membuka ruang untuk memperkenalkan seni sinden kepada khalayak yang lebih luas. Beliau menyifatkan “Tinggi” sebagai sebuah karya yang berjaya mengharmonikan tradisi dan muzik moden, sekali gus mengukuhkan hubungan budaya antara Malaysia dan Indonesia.

Keistimewaan projek ini turut diterjemahkan menerusi video muzik yang menjalani penggambaran di Taman Mini Indonesia Indah (TMII), Jakarta. Produksi berskala besar itu menampilkan puluhan penari, busana tradisional, pelbagai elemen budaya serta tata artistik yang diinspirasikan daripada warisan kedua-dua negara, sekali gus memperlihatkan kekayaan budaya serumpun dalam bentuk visual yang memukau.

Lebih daripada sekadar sebuah lagu, “Tinggi” menjadi simbol perpaduan budaya Malaysia dan Indonesia serta membawa mesej bahawa warisan dan nilai murni perlu terus dipelihara agar kekal hidup dalam jiwa generasi akan datang. Karya ini membuktikan bahawa muzik bukan sahaja mampu menghiburkan, malah menjadi medium yang menghubungkan sejarah, identiti dan persaudaraan Nusantara.

“Tinggi” Satukan Malaysia dan Indonesia Dalam Kolaborasi Muzik Nusantara first appeared on #1 The News Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts