by Oh! Semput
KUALA LUMPUR: Treler membawa muatan habuk kayu yang terbalik dan menghempap kereta mengorbankan empat sekeluarga di Kilometer 43.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), dekat Bentong, Pahang terbakar tiba-tiba ketika dialihkan petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata api dikesan ketika jengkaut yang digunakan untuk membantu proses itu cuba mengalihkan treler berkenaan.
Bagaimanapun beliau berkata kebakaran berlaku selepas semua empat mangsa yang tersepit dalam Honda City yang remuk berjaya dikeluarkan.
Sementara itu, tular foto menunjukkan anggota bomba cuba memadamkan kebakaran di lokasi kejadian.
Terdahulu, empat mangsa disahkan maut termasuk seorang bayi apabila kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan treler.
Selain bayi berusia setahun, Nayla Afya Aizat, tiga lagi mangsa yang maut dikenal pasti A Halim Hasoon, 55; Rozita Buang, 58 dan Norbahyah A Halim, 26.
Semua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dalam kejadian kira-kira jam 4.25 petang itu.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu untuk membantu mengeluarkan semua mangsa yang tersepit.
Pemandu treler mengalami kecederaan pada kepala serta pinggul dan sedang menerima rawatan lanjut di hospital. #beritaharian