by Oh! Semput
Seorang tukang masak maut selepas basikal yang ditungganginya dipercayai tersangkut pada penutup longkang dalam kejadian di Bukit Beruang, Melaka, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.10 malam itu, mangsa, Ahmad Shazlye Hassan, 36, mengalami kecederaan pada bahagian muka dan kepala selepas terjatuh daripada basikal yang ditungganginya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, mangsa yang menetap di Taman Bunga Raya, Bukit Beruang, ketika itu sedang berbasikal dari arah Jalan Dahlia 6 menuju ke persimpangan Jalan Dahlia 2 dan Jalan Dahlia 7.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, tayar hadapan basikal mangsa dipercayai tersangkut pada bahagian penutup longkang, menyebabkan basikal hilang kawalan sebelum mangsa terjatuh.
Mangsa yang mengalami luka pada muka dan kepala kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut. Bagaimanapun, selepas kira-kira dua jam menerima rawatan, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9 malam.
Siasatan awal polis mendapati tiada kenderaan lain terbabit dalam kejadian itu dan kemalangan dipercayai berlaku selepas basikal berkenaan terjatuh sendiri akibat tayar hadapan tersangkut pada penutup longkang.
Pemeriksaan di lokasi mendapati keadaan jalan adalah lurus dan mempunyai satu lorong bagi setiap arah. Cuaca ketika kejadian juga dilaporkan baik serta permukaan jalan kering dengan pencahayaan yang terang dan keadaan penglihatan jelas.
Basikal jenis Lapierre berwarna biru yang digunakan mangsa turut diperiksa dan didapati mengalami kerosakan pada bahagian pemegang akibat kejadian tersebut.
Polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti keadaan sebenar yang membawa kepada kemalangan berkenaan, selain menunggu laporan bedah siasat bagi melengkapkan siasatan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tukang Masak Maut Selepas Basikal Terjatuh Akibat Tayar Tersangkut Penutup Longkang first appeared on #1 The News Malaysia.