by Oh! Semput
Tahun ini Apple hanya menawarkan iPhone 18 Pro, 18 Pro Max dan Duo dengan model iPhone 18 akan dilancarkan pula awal tahun depan. Langkah baharu ini dilakukan bagi membolehkan pengeluaran iPhone dilakukan dalam dua suku berbeza dengan model lebih mampu milik dilancarkan kemudian.

Ini sekaligus menjadikan iPhone 18 Pro telefon mercu paling mampu milik Apple sehinggalah tahun hadapan. Selepas menggunakan telefon ini selama beberapa minggu, saya boleh katakan kita sudah kembali ke era telefon yang diberikan kemas kini iteratif seperti siri iPhone S beberapa tahun lalu.
| Apple iPhone 18 Pro | |
|---|---|
| Skrin | 6.3″ Super Retina XDR OLED, 120Hz, Dolby Vision |
| Pemproses | Apple A20 Pro (2nm) |
| Cip | 2 X 4.93 GHz Kuasa Tinggi 4 X 2.64GHz Kecekapan |
| Cip Grafik | Apple GPU 7 Teras |
| RAM | 12GB RAM |
| Muatan Dalaman | 256/512/1000/2000 GB NVMe |
| Kamera Utama | 48mp f/1.5-4.0 OIS, (Sudut Lebar) 48MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 48MP, OIS, f/2.8 4x Zum Optikal (Telefoto) ToF LiDAR |
| Kamera Swafoto | 18MP f/1.9 |
| Bateri | 4,056 mAh Pengecasan berwayar 60W Pengecasan nirwayar MagSafe 25W Pengecasan nirwayar Qi 15W |
| SIM/Telefoni | 1 Nano, 1 eSIM 5G |
| NFC | Ya |
| Bicu Audio | Tiada |
| Kalis Air | IP68 |
| Sistem Imbasan | Pengimbas Face ID |
| Harga Jualan | RM 5,499 (12/256GB) RM 6,499 (12/512GB) RM 8,499 (12/1000GB) RM 11,499 (12/2000GB) |
Skrin 6.3″ Super Retina XDR OLED adalah lancar dengan sokongan kadar segar semula 120Hz. Ia turut boleh memaparkan kandungan HDR Dolby Vision tanpa sebarang isu. Imej yang dipaparkan terang, warna nampak hidup dan setiap sentuhan dikesan dengan baik. Bezel pada keempat-empat sudut sama nipis membuatkan peranti nampak simetri.

Perubahan paling ketara tahun ini ialah lubang kamera yang lebih kecil berbanding tahun lalu. Ia dicapai dengan Apple meletakkan pengimbas wajah secara 3D di bawah skrin. Dengan lubang kamera yang lebih kecil, ia kurang menghalang kandungan video yang ditonton secara penuh. Penyelesaian yang belum sempurna tetapi dalam masa terdekat kesemua kamera dan sensor Face ID boleh diletakkan di bawah skrin seperti dilakukan pada skrin dalam iPhone Duo.

Face ID masih sistem biometri yang pantas walaupun sensor kini di balik skrin. Setelah sekian lama wujud, Face ID masih terbaik dalam dunia telefon pintar dengan versi pada peranti Android tidak cukup konsisten seperti yang digunakan iPhone.

Estetik tubuh berkotak tahun lalu dan bonggol kamera yang besar dikekalkan. Apple tidak memanggilnya “dataran kamera” dan ia adalah pilihan yang praktikal. Peranti boleh diletakkan rata di atas meja tanpa terjungkit apabila skrin ditekan. Sangat berguna apabila menonton video sambil makan.

Sisi kiri diletakkan butang Action Button dan laras audio. Di sebelah kanan pula diletakkan butang kuasa dan kamera. Kesemua butang-butang ini selesa ditekan tanpa menyakitkan jari. Panel belakang pada iPhone 18 Pro yang diulas ini juga tidak mengutip minyak cap jari dengan mudah. Keseluruhan tubuh melepasi piawaian kalis air serta debu IP68.
Izinkan saya sentuh sedikit mengenai saiz tubuh kerana saya merasakan ia terlalu kecil sehingga menjadi kurang selesa digunakan. Malahan isteri saya yang menggunakan iPhone 14 Plus merasakan tubuh dan skrin terlalu kecil untuk digunakan. Pada tahun 2026, telefon dengan skrin 6.3″ adalah spesis terancam memandangkan ramai lebih suka skrin besar untuk menonton video dan telefon lipat (dengan skrin lebih besar) sudah menjadi norma.
iOS 27 tidak membawakan perubahan drastik pada wajah antaramuka jika dibandingkan dengan iOS 26. Liquid Glass kini boleh diubah untuk kelihatan lebih telus atau legap. Apple mengatakan iOS 27 membawakan ratusan kemas kini dan penambah baikan ke atas pelbagai isu yang wujud pada versi terdahulu.
Pada iPhone 18 Pro sistem operasi ini berfungsi dengan lancar yang tidak mengejutkan kerana cip A20 Pro adalah berkuasa serta terdapat 12GB RAM untuk menjalankan pelbagai aplikasi. Semuanya pantas dan responsif kepada sentuhan jari. Selepas sebulan digunakan, isu pemanasan hanya dikesan pada minggu pertama semasa peranti masih menjalani proses optimasi.

Siri AI yang lebih bijak akhirnya diterima menerusi kemas kini iOS 27.1 beberapa minggu lalu. Ia mengingati konteks perbualan, mencari emel yang relevan. Ia boleh mengakses pengetahuan dunia masa nyata dan data peribadi pengguna merentasi pelbagai aplikasi.
Dengan kecerdasan yang lebih baik, Apple turut memberikan ciri suntingan pada gambar yang telah diambil. Reframe boleh mengubah sudut kamera daripada gambar untuk ke kiri, kanan, atas dan bawah. Seolah-olah ada kamera maya yang mengambil semula gambar selepas ia diambil. Sebarang gambar 2D akan diubah menjadi spatial untuk kamera diubah sebelum Reframe menjana semula satu gambar baharu.

Extend pula membesarkan gambar daripada bingkai saiz bingkai asal. Akhir sekali Clean UP memadam elemen dalam gambar secara lebih konsisten. Kemampuan AI generatif Apple Intelligence kini setanding dengan yang wujud pada Android 17.

Pada iOS 27 kelajuan pemindahan data menerusi AirDrop sehingga 80%. Sebagai insan yang kerap memindahkan fail video besar ke MacBook menggunakan AirDrop, ini adalah ciri yang akan memendekkan masa bekerja.
Saiz Widget juga kini mempunyai 4 pilihan berbanding hanya 3 sahaja sebelum ini. Widget extra besar ini menggunakan keseluruhan skrin tanpa ruang untuk ikon lain di bawahnya. Bukan misteri ciri ini diberikan sebagai persediaan digunakan pada skrin iPhone Duo yang lebih besar. Mod landskap juga dikembangkan lagi ke beberapa aplikasi seperti Weather dan Apple Music,

Di Malaysia hanya satu ciri iOS 27 yang belum disokong iaitu dua telefon menyokong satu eSIM menerusi Apple Handoff. Tiada syarikat telko tempatan menawarkan ciri ini. Setakat ini ciri hanya disokong di Amerika Syarikat dan Jerman.
iPhone lazimnya menerima sokongan kemas kini tujuh versi iOS dan tampalan sekuriti yang lebih panjang bergantung kepada situasi. Jika sokongan jangka panjang adalah penting buat anda, iPhone memberikan sokongan paling lama dalam industri.
Berikut ialah markah penanda aras untuk cip A20 Pro pada iPhone 18 Pro dibandingkan dengan beberapa peranti mercu lain di pasaran.
| Peranti | Skor |
| Apple iPhone 18 Pro | 3,517,879 |
| Poco F9 Ultra | 4,077,407 |
| Samsung Galaxy Z Flip8 | 2,463,934 |
| Google Pixel 11 Pro Fold | 1,212,510 |
| Oppo Find X9 Ultra | 4,120,640 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 3,136,285 |
| Vivo X300 Pro | 3,507,869 |
| Apple iPhone 17 Pro | 2,634,345 |

| Peranti | Satu Teras | Multi Teras |
| Apple iPhone 18 Pro | 3999 | 11338 |
| Poco F9 Ultra | 2037 | 7914 |
| Samsung Galaxy Z Flip8 | 1923 | 5091 |
| Google Pixel 11 Pro Fold | 1764 | 4688 |
| Oppo Find X9 Ultra | 3505 | 10277 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 3651 | 10819 |
| Vivo X300 Pro | 3507 | 10469 |
| Apple iPhone 17 Pro | 3560 | 8835 |

| Cip | Skor |
| Apple iPhone 18 Pro | 7843 |
| Poco F9 Ultra | 7353 |
| Samsung Galaxy Z Flip8 | 4099 |
| Google Pixel 11 Pro Fold | 3318 |
| Oppo Find X9 Ultra | 7391 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 7375 |
| Vivo X300 Pro | 7075 |
| Apple iPhone 17 Pro | 5873 |

Seperti telah saya katakan di atas, iPhone 18 Pro menjalankan pelbagai aplikasi lazim dan permua prestasi tinggi dengan lancar. Cip A20 Pro memang paling berkuasa di pasaran sekarang dengan ia hanya akan ditentang oleh Dimensity 9600 Pro dan Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6.
Kelebihan iPhone 18 Pro ialah ia boleh menjalankan permua setanding konsol secara natif secara terus. Walaupun permainan kelas AAA masih dalam jumlah kecil sahaja di App Store, ia masih lebih banyak berbanding yang ditawarkan di Google Play Store. Telefon akan menjadi panas apabila menjalan permainan ini. Saya tidak boleh sarankan kerana bateri akan mengalir pantas. Permua lain seperti Genshin Impact, COD Mobile dan Zenless Zen Zero boleh dimainkan pada tetapan paling tinggi tanpa isu.
Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 48MP f/1.5-4.0 OIS, lensa ultra lebar 48MP f/2.2 dan lensa telefoto 48MP, f/2.8 OIS dengan 4x zum optikal. Di hadapan pula diletakkan sensor 18MP empat segi yang membolehkan tangkapan swafoto mendatar dilakukan walaupun peranti dipegang menegak. Tiada perubahan pada sensor tetapi pada lensa utama iPhone 18 Pro saiz apertur boleh diubah mengikut tahap cahaya. Ini boleh dilakukan secara automatik atau kawalan manual.
Gambar yang ditangkap adalah jelas, tajam dengan warna yang tepat. Dalam pelbagai situasi, kamera iPhone 18 Pro tidak mengecewakan. Tiada perbezaan warna apabila menggunakan lensa berbeza. Saya tidak mengulas iPhone 17 Pro tahun lalu tetapi menggunakan iPhone 16 Pro Max sebagai peranti sekunder. Saya boleh melihat perbezaan pada ketajaman imej dan keterangan pada waktu malam yang ketara pada iPhone 18 Pro.
Photographic Styles ditambahbaik dengan kawalan hingar dan tekstur seakan filem. Terdapat beberapa pratetapan untuk filem yang mengingatkan saya kepada kamera digital Fujifilm. Pengguna juga boleh menyimpan resipi sendiri. Di atas talian sudah wujud beberapa tutorial untuk mendapatkan kesan mirip kamera Fujifilm, Leica dan Hasselblad menggunakan Photographic Styles.










Berikut pula ialah gambar yang diambil pada tetapan zum 1x, 2x, 4x, 8x, dan 40x. Kualiti gambar hanya kelihatan elok sehingga 4X. Selepas tahap ini gambar mula nampak kurang tajam. Pada tetapan 40X gambar yang diambil tidak memuaskan. Tidak seperti pada Android, Apple tidak menggunakan AI untuk menajamkan gambar pada tetapan zum tinggi.





Dua speaker stereo menghasilkan audio yang lantang tetapi jelas dan tidak pecah. Audio masih belum benar-benar seimbang kerana satu kekisi menembak ke tepi dan satu lagi ke depan. Tetapi secara keseluruhan audio iPhone 18 Pro adalah memuaskan.
Bateri 4,056 mAh adalah agak kecil dalam pasaran kita sudah melihat peranti dengan bateri 11,000 mAh. Poco X8 Pro yang kompak misalnya dilengkapi bateri 6500 mAh. Tetapi sungguhpun begitu masih lebih besar berbanding iPhone 17 Pro Max yang dilengkapi 3998 mAh tahun lalu. Peranti boleh bertahan hampir sepanjang hari secara konsisten dalam penggunaan sederhana. Bateri boleh dicas semula daripada 0-100% dalam masa sekitar 60 minit. Pengecas 60W disokong tetapi tidak disertakan dalam kotak.


| Apple iPhone 18 Pro | Oppo Find X10 | Sony Xperia 1 VIII |
| 6.3″ LTPO Super Retina XDR OLED, 120Hz Dolby Vision, 3000 nit | 6.59″ LTPO AMOLED, 144Hz, Dolby Vision, 3600 nit | 6.5″ LTPO OLED, 120Hz, HDR BT.2020, 4500 nit |
| Apple A20 Pro (2nm) 2x CPU Prestasi Tinggi ?GHz 6x CPU Kecekapan ?GHz | Dimensity 9600M (3 nm) 1x C1-Ultra 4.21 GHz 3x C1-Premium 3.5 GHz 4x C1-Pro 2.7 GHz | Snapdragon 8 Elite Gen 5 (3nm) 2x Oryon V3 Phoenix L 4.74 GHz 6 xOryon V3 Phoenix M 3.62 GHz |
| GPU Apple 7 Teras | Mali-G1 Ultra MC12 | Adreno 840 |
| 12 GB | 12 GB LPDDR5X | 12 GB LPDRR5X |
| 256/512/1000/2000 GB NVMe | 256/512 GB UFS 4.1 | 256 GB UFS 4.1 Micro SD sehingga 2TB |
| Kamera Utama 48MP f/1.5-4.0, OIS (Sudut Lebar) 48MP f/2.2 (Ultra Lebar) 48MP f/2.8, OIS (Telefoto 4X) | Kamera Utama 200 MP f/1.6, OIS (Sudut Lebar) 50 MP f/2.0 (Ultra Lebar) 200 MP f/2.6, OIS (Telefoto 2.8X) Kamera Hasselblad | Kamera Utama 48MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar) 48MP f/2.0 (Ultra Lebar) 48MP f/2.8, OIS (Telefoto 2.9X) Lensa Zeiss |
| Kamera Hadapan 18 MP f/1.9 3D Face ID | Kamera Hadapan 50MP f/2.0 | Kamera Hadapan 12 MP f/2.0 |
| IP68 | IP69 | IP698 |
| Tiada Bicu audio | Tiada bicu audio | Bicu audio |
| Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
| 4056 mAh – Nano SIM 42887 mAh – eSIM Berwayar 60W Nirwayar 25W Nirwayar Berbalik 4.5W | 8000 mAh SiC Berwayar 80W Nirwayar 50W Nirwayar Berbalik 10W | 5000 mAh SiC Berwayar 30W Nirwayar 15W Nirwayar Berbalik 10W |
| iOS 27 Kemaskini 7+7 Tahun | ColorOS 17, Android 17 Kemaskini 5+6 Tahun | Android 16 Kemaskini 4+6 Tahun |
| Dilancarkan September 2026 | Dilancarkan Oktober 2026 | Dilancarkan Ogos 2026 |
| RM 5,499 (12/256GB) RM 6,499 (12/512GB) RM 8,499 (12/1000GB) RM 11,499 (12/2000GB) | RM 6,999 (16/512GB) | RM 6,499 (12/256GB) |
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.

Apple iPhone 18 Pro membawakan penambahbaikan interatif untuk menjadikan pemiliknya lebih produktif dan kreatif. Lebih banyak kuasa dan kemampuan AI mempercepatkan proses mencari maklumat. Kamera yang lebih baik pula membuka ruang kreatif. Kuasa pemprosesan yang tinggi pula memastikan pelbagai aplikasi boleh dijalankan tanpa sebarang isu.

Memang tiada perubahan yang mendadak dilakukan dengan iPhone 18 Pro boleh dilabel sebagai iPhone 17s Pro. Tetapi iPhone 18 Pro tidak direka untuk mereka yang sudah memiliki iPhone 17 Pro. Sebagai pengguna iPhone 16 Pro Max, penambahbaikan yang diberikan dapat dirasakan dan adalah ketara. iPhone 18 Pro ialah telefon kompak yang terbaik saya ulas tahun ini.
Pro
Kontra
