(Ulasan) Infinix GT 50 Pro – Prestasi Gaming Gagah Tapi Harga RM1,899 Terlalu Banyak Pesaing Terdekat

by Oh! Semput


4
SHARES
50
VIEWS
Posted on 12 Jun 2026 11:00:27

Infinix ialah sebuah jenama yang tidak asing lagi, lebih-lebih lagi dalam segmen bajet dan midrange.

Jenama ini telah banyak mengeluarkan telefon-telefon gaming bajet dan midrange, secara spesifiknya dalam siri GT. Siri ini bermula dengan Infinix GT 10 Pro pada tahun 2023.

Pada masa itu, Infinix GT 10 Pro dianggap sebuah telefon bajet midrange yang cukup padu bagi harganya sekitar RM1,000.

Saya pernah mencuba telefon ini, dan ia sangat mengecewakan dari segi kualiti audio, ketahanan suhu, dan prestasi permainan video. Tetapi, tidak dapat dinafikan bahawa ia adalah suatu telefon yang tidak dapat ditiru sehingga kini, lebih-lebih lagi pada tanda harga itu.

Setelah 3 tahun, Infinix kini telah mengeluarkan iterasi terbaru dalam siri GT, iaitu Infinix GT 50 Pro. Telefon gaming ini tidak lagi semurah iterasi pertamanya, dan ada sebabnya.

Apa Yang Terkandung Dalam Infinix GT 50 Pro?

Infinix GT 50 Pro dikuasai oleh Dimensity 8400 Ultimate, iaitu cip 4 nanometer midrange dengan skor AnTuTu setinggi 1.9 juta, dan ia dianggap sebagai ‘flagship killer’. Di teras cip ini adalah GPU Mali G720 MP7.

Selain itu, telefon ini juga dilengkapi dengan 12GB LPDDR5X RAM, 256GB storan, UFS 4.1, dan WiFi 6. Skrin pula adalah LTPS AMOLED berresolusi 1208p dengan refresh rate sehingga 144hz.

Bukan itu sahaja, ia juga dihidupkan dengan bateri berkapasiti 6500mAh, dengan sokongan pengecasan pantas 45W dan pengecasan wayarles 30W.

Tetapi ia tidak terhenti disitu kerana telefon ini juga ada HydroFlow Liquid Cooling, Pressure-Sense GT Trigger, dan aksesori luaran Magcharge Cooler 2.0.

Mungkin dengan penggabungan semua spesifikasi ini, ia akan memberikan prestasi dan pengalaman permainan yang baik, bukan?

Segagah Mana Infinix GT 50 Pro?

Apabila mengetahui cip yang kuasai telefon ini, ia mengingatkan saya tentang cip dalam POCO X8 Pro, iaitu Dimensity 8500. Setelah membuat selidikan lagi, skor AnTuTu kedua-dua cip ini juga tidak jauh beza. Jadi, jangkaan saya adalah prestasi cip Dimensity 8400 Ultimate tidak jauh beza dengan Dimensity 8500.

Tetapi, apa yang saya harapkan adalah ketahanan suhu yang lebih baik berbanding POCO X8 Pro, lebih-lebih lagi disebabkan kewujudan ‘liquid cooling’ dan Magcharge Cooler 2.0.

Sebelum melakukan ujian, saya telah membuat tetapan tertentu bagi ‘liquid cooling’, mod gaming, dan butang-butang tambahan.

Bagi ‘liquid cooling’, saya telah tetapkan pada mod ‘Rapid’ dalam aplikasi Settings untuk memastikan penyejukan dalaman yang terbaik.

Mod bagi ‘liquid cooling’.

Bagi mod gaming pula, saya menggunakan mod gaming ‘balanced’ untuk mendapatkan prestasi yang mencukupi dengan hayat bateri yang paling baik ketika hanya menggunakan ‘liquid cooling’.

Mod ‘Balanced’ dalam X Boost AI.

Apabila mencuba penyejuk magnetik, saya akan menggunakan mod ‘Draco’, iaitu mod gaming tambahan yang hanya wujud apabila Magcharge Cooler 2.0 dilekapkan pada belakang telefon.

Dalam menggunakan penyejuk magnetik, saya juga memastikan ‘bypass charging’ dihidupkan. Hal ini untuk mengelakkan telefon dicas, dan untuk memastikan telefon tidak panas sepanjang sesi permainan video.

Untuk butang-butang tambahan pula atau ‘Pressure-Sense GT Trigger’, iaitu dua butang kapasitif yang berada di bahagian kanan telefon, saya hanya menggunakan ia untuk permainan video tertentu sahaja.

Berkemungkinan butang-butang ini adalah untuk meningkatkan kemahiran dalam permainan video. Sejujurnya, ia tidaklah penting bagi saya tetapi saya masih lagi akan mencubanya. Mungkin ada gamer di luar sana yang inginkan ciri ini.

Butang-butang ini boleh ditetapkan untuk melakukan fungsi-fungsi tertentu mengikut permainan video, seperti menembak dan menukar senjata.

Baiklah, dalam cubaan kali ini, akan ada dua jenis percubaan bagi setiap permainan video: mod ‘Balanced’ (menggunakan ‘liquid cooling’ sahaja), dan mod ‘Draco’ (menggunakan ‘liquid cooling’ dan penyejuk magnetik). Suhu juga akan diperhatikan setelah bermain selama 20-25 minit dengan menggunakan aplikasi Ampere.

Kita mulakan acara dengan permainan video natif dalam talian.

Mari kita masuk ke dunia ala-ala GTA dalam Neverness To Everness. Dengan tetapan grafik ‘Balanced’ dan 60 fps, prestasi cukup baik iaitu dalam lingkungan 53-59 fps tetapi ada sedikit lagging.

Setelah 25 minit bermain, bateri turun 9% sahaja, jadi baterinya pasti tahan. Apa yang mengecewakan adalah suhu kerana telefon menjadi cepat panas hanya selepas 10 minit bermain walaupun ‘liquid cooling telah dihidupkan. Sekurang-kurangnya, tangan saya masih mampu menahan kehangatannya.

Dalam mod ‘Draco’ pula, prestasi bertambah sedikit sahaja, tetapi suhu telefon masih lagi suam.

Apabila masuk ke dalam dunia perlumbaan dalam CarX Street pula, tidak jauh beza ceritanya. Dengan tetapan grafik tahap 4 dan fps limit ke ‘no limit’, prestasi juga baik dengan sedikit lagging, dan bateri hanya turun 8% selepas 25 minit bermain. Tetapi, masalah haba itu terus menghangatkan telefon kerana suhu masih mencecah 40-42 celsius walaupun ‘liquid cooling’ telah dihidupkan.

Dalam mod ‘Draco’ pula, prestasi dan ketahanan suhu ada sedikit peningkatan. Tidak terlalu ketara.

Dalam permainan video ini juga, saya ada cuba butang kapasitif untuk kawal minyak dan brek. Apa yang saya boleh katakan adalah butang-butang ini responsif.

Tekan minyak pakai GT Trigger.

Adakah keadaan akan bertambah baik jika kita teleport ke dalam dunia Where Winds Meet?

Jawapannya, ya tetapi masih mengecewakan. Dengan tetapan frame rate ‘High’ atau 30 fps dan kualiti grafik ‘Balanced’, prestasi memuaskan dengan sedikit lagging dan glitching pada grafik ketika ‘liquid cooling’ dihidupkan. Bateri juga turun dengan perlahan, iaitu  6% dalam 20 minit. Suhu pula berada pada 36 celsius, jadi tidak teruk.

Tetapi, apa yang mengecewakan adalah kualiti grafik ‘Ultra’ masih lagi tidak dapat ditetapkan walaupun berada pada mod gaming ‘Draco’. Mungkin kerana cip telefon ini hanyalah cip midrange, jadi kualiti ‘Ultra’ tidak disokong. Suhu telefon juga tidak jauh beza dengan ‘liquid cooling’ sahaja.

Sekurang-kurangnya, telefon tidak panas dan konsisten pada 30 fps.

Setelah kecundang dengan kehangatan yang dirasai setakat ini, tibalah masanya untuk keluar dari alam permainan video dalam talian dan jelajah ke permainan video natif luar talian.

Baru sahaja masuk, dan sudah ada perkara lain yang membuatkan saya kecundang: Alien: Isolation tidak dapat dimainkan kerana setiap kali saya cuba membukanya, ia akan terkeluar semula. Mungkin cip Dimensity 8400 tidak mampu menampung permainan video ini.

Jadi, ia dianggap unplayable.

‘Alien: Isolation” tidak dapat dimainkan kerana cepat ‘crash’.

Jika saya tidak mampu merasai dikacau makhluk asing, lebih baik saya lari ke dunia ‘cowboy’ dalam Red Dead Redemption. 

Permainan video ini sepatutnya boleh dimainkan pada 60 fps, tetapi ia memerlukan penggodaman fail. Berdasarkan pemerhatian saya di Reddit, ia agak sukar untuk dilakukan berbanding penggodaman fail Alien: Isolation. Maka, saya teruskan bermain permainan video ini pada had 30 fps.

Dengan tetapan grafik paling tinggi dan ‘motion blur’ dihidupkan, prestasinya sangat lancar tanpa lagging. Bateri hanya turun 6% selepas 25 minit, tetapi suhu telefon masih suam sambil ‘liquid cooling’ dihidupkan.

Ini mungkin kerana Rockstar Games telah mengoptimumkan permainan ini dengan mengurangkan kualiti grafik dan saiz fail-fail tekstur untuk menyokong platform Android dengan lebih baik, sama seperti permainan-permainan buatan mereka yang lain seperti Bully dan GTA Remastered Series. Tetapi, saya berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan cip ini.

Apabila mod ‘Draco’ dihidupkan, tiada perubahan dari segi prestasi, dan suhu pula tidak jauh beza.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts