Ulasan Intel Core Ultra 7 270K Plus – Pemproses Berkuasa Untuk Yang Berkemampuan

by Oh! Semput


6
SHARES
83
VIEWS
Posted on 04 Aug 2026 10:30:40

Intel telah melancarkan siri cip pemprosesan kelas desktop terbaru mereka, iaitu Intel Core Ultra 200 Plus “Arrow Lake Refresh” pada pertengahan tahun ini, dan kami telah berpeluang untuk menguji dan menggunakan cip pemprosesan ini dalam satu binaan komputer baru.

Cip pemprosesan yang dihantar kepada kami ialah Intel Core Ultra 7 270K Plus yang merupakan penawaran cip pemprosesan yang paling berkuasa dalam siri ini. Jika anda mahu membina sebuah komputer desktop yang mampu melakukan pelbagai tugasan perkomputeran yang memerlukan kuasa pemprosesan yang tinggi, ini mungkin salah satu pilihan pemprosesan yang sesuai untuk anda.

Spesifikasi CPU

Bermula dengan spesifikasi cip pemprosesan ini, Intel Core Ultra 7 270K Plus tampil dengan 24 teras fizikal, yang mana lapan daripadanya terdiri daripada teras Performance (Lion Cove) dan 16 lagi daripada teras Efficiency (Skymont Cove).

Jika anda melihat kepada penawaran cip-cip pemprosesan Intel yang sedia ada, spesifikasi cip ini adalah sama seperti Intel Core Ultra 9 285K yang sebelum ini merupakan cip paling berkuasa dalam siri Intel Arrow Lake. Kelajuan asas teras Performance dan Efficiency adalah sama pada 3.7GHz dan 3.2GHz, manakala untuk kelajuan Boost Clock pula, teras-teras ini hadir dengan kelajuan 5.5GHz dan 4.7GHz yang sedikit lebih perlahan berbanding dengan cip Core Ultra 9 tersebut.

Sama seperti cip pemprosesan Intel Arrow Lake yang dilancarkan pada tahun 2024, cip pemprosesan Intel Arrow Lake Refresh merupakan dua daripada cip desktop kelas pengguna Intel yang dibina menggunakan proses TSMC N3B sementara menunggu proses binaan Intel 18A dan Intel 14A dipersiapkan.

Dari segi penggunaan kuasa, cip ini mempunyai julat penggunaan 125W sehingga 250W bergantung kepada peratusan penggunaan cip pemprosesan. Intel menyarankan anda menggunakan bekalan kuasa sekurang-kurangnya 600W ke 1kW bergantung kepada komponen-komponen yang dipasangkan pada komputer dengan cip ini.

Dari segi sokongan papan induk pula, cip pemprosesan ini menggunakan papan induk LGA 1851 sama yang digunakan bersama cip Intel Arrow Lake dan menyokong hanya memori DDR5 dengan kelajuan sehingga 7200MT/s. Cip ini boleh menampung 20 lorong PCIe 5.0 yang mana 16 daripadanya boleh digunakan untuk menyokong kad grafik generasi terbaru, dan empat lagi digunakan untuk storan SSD PCIe 5.0.

Binaan Komputer

Untuk ulasan ini, spesifikasi keseluruhan binaan komputer saya adalah seperti berikut:

  • CPU: Intel Core Ultra 7 270K Plus
  • Penyejuk: Jonsbo CC90 Digital Black
  • Papan induk: MSI MAG B860 Tomahawk WiFi
  • Kad grafik: AMD Radeon RX 7900 XTX
  • Memori: KLEVV BOLT V 16GB DDR5 6000MT/s x2
  • Storan: Kioxia Exceria Basic PCIe 4.0 2TB
  • Bekalan kuasa: Antec GSK850 V2 GB

Satu butiran yang anda mungkin akan sedar ialah berkaitan penggunaan papan induk Intel B860 dengan cip pemprosesan Intel siri-K. Untuk platform Intel, satu-satunya siri papan induk yang boleh memanfaatkan fungsi lewah jam pada CPU adalah papan induk siri Intel Z. Saya membuat keputusan ini kerana keseluruhan komponen-komponen binaan komputer ini saya beli dengan wang sendiri, dan pada waktu tersebut, papan induk siri Intel Z890 adalah terlalu mahal untuk bajet saya. Oleh kerana itu, saya telah memilih untuk mendapatkan papan induk B860.

Walaupun begitu, papan induk ini masih cukup berkuasa untuk mengakses kelajuan Boost Clock terbina, dan fungsi lewahjam moden hanyalah bermanfaat untuk mereka yang mengejar kelajuan GHz tertinggi dan untuk mendapatkan skor perisian penanda-aras yang tinggi.

Sebelum mula menulis ulasan ini, saya telah mengambil masa beberapa minggu untuk memilih komponen-komponen yang saya mahukan untuk binaan komputer ini. Nasib baik untuk saya juga, kad grafik AMD Radeon RX 7900 XTX yang saya gunakan adalah dari binaan lama yang saya gunakan semula kerana ia merupakan kad grafik yang masih lagi berkuasa, dan baru-baru ini tampil dengan kemaskini AMD FSR 4.1 yang memberikan kad grafik tersebut hayat baru.

Penggunaan papan induk MSI B860 Tomahawk Gaming juga membolehkan saya akses kepada 90 peratus daripada kemampuan cip pemprosesan ini, kecuali kemampuan melewahjam manual, yang pada pendapat saya bukanlah sesuatu yang penting untuk pengguna moden.

Seperti yang anda dapat jangka, komponen termahal dalam binaan ini ialah dua keping memori KLEVV BOLT V 16GB 6000MT/s. Saya membeli set ini untuk mengaktifkan fungsi dual channel untuk operasi memori yang lebih cekap dan juga mencukupi untuk menggerakkan pelbagai jenis perisian dengan sekaligus secara lancar.

Pengalaman Pengguna

Dengan konfigurasi ini, komputer ini boleh digunakan untuk pelbagai jenis tujuan, dari pelbagai produktiviti pejabat yang berbeza, dari pemprosesan dokumen, melayari web, tontonan video, suntingan dan olahan imej dan gambar, gaming pada resolusi dan tetapan tinggi, dan bermacam-macam lagi.

Cip Intel Core Ultra 7 270K Plus ini memperlihatkan prestasi baik dari pelbagai jenis metrik, dari kestabilan menggerakkan pelbagai jenis perisian; menggerakkan beberapa perisian sekaligus seperti permainan komputer, dan penstriman kepada platform Discord dan OBS secara sekaligus jika anda mahu merakam ataupun menstrim permainan anda.

Satu aspek yang benar-benar mengejutkan saya ialah suhu operasi cip pemprosesan ini. Seperti yang saya katakan sebelum ini, cip pemprosesan ini hadir dengan penggunaan kuasa elektrik 125W sehingga 250W bergantung kepada proses yang dijalankan. Dalam keadaan lalai apabila proses cip pemprosesan ini adalah rendah, ia akan beroperasi pada suhu 45-50 darjah Celcius.

Apabila saya memainkan kebanyakan permainan komputer seperti Wuthering Waves, Doom: The Dark Ages, Cyberpunk 2027, suhu cip pemprosesan ini akan meningkat ke 65-80 darjah Celcius, walaupun permainan-permainan ini dimainkan pada resolusi 1440p ataupun 4K. Pada pendapat saya, ini adalah sesuatu yang sangat baik kerana ini bermakna bahawa cip pemprosesan ini boleh beroperasi pada tahap optima tanpa perlu meningkatkan suhu operasi CPU pada nilai yang tinggi.

Ini bukan untuk mengatakan bahawa CPU ini tidak akan meningkat ke tahap 90+ darjah Celcius. Ia masih boleh meningkat ke tahap tersebut, tetapi secara lazimnya saya hanya pernah melihat suhu setinggi tersebut apabila menggunakan perisian penanda-aras yang memfokuskan terhadap penggunaan CPU. Untuk kegunaan harian yang lain, walaupun untuk gaming, suhu operasi secara lazimnya jarang sekali meningkat lebih tinggi dari 80 darjah Celcius.

Binaan komputer saya juga tampil dengan lapan buah kipas penyejukan terbina yang menarik masuk dan menolak keluar dalam konfigurasi push-pull dan tekanan udara positif yang menarik masuk udara sejuk dan menolak keluar udara panas secara cekap untuk memastikan bahawa komponen-komponen CPU dan kad grafik sentiasa beroperasi dalam keadaan optima.

Skor Penanda Aras

Bercakap mengenai perisian penanda-aras, saya telah menguji cip Intel Core Ultra 7 270K Plus ini dengan sejumlah ujian penanda-aras moden yang memperlihatkan prestasi cip ini. Salah satu daripadanya memperlihatkan skor yang cukup menarik sekali, mengatasi cip pemprosesan Intel Core Ultra 9 285K yang secara teknikalnya adalah cip pemprosesan dengan prestasi yang sepatutnya lebih baik.

PCMark10

Geekbench 7

Passmark Performance Test

Cinebench 2026

Adakah Berbaloi Membina PC Dengan CPU Arrow Lake Refresh?

Apabila saya ditanya jika saya mahu mengulas cip pemprosesan desktop Intel terbaru ini, saya bertanya kepada diri saya sendiri sekiranya ia berbaloi untuk membina komputer desktop di zaman ini, apabila komputer-komputer riba (gaming, produktiviti, dan sebagainya) secara teknikalnya sudah cukup memadai untuk kegunaan harian.

Bagi saya, terdapat sejumlah mata positif dan negatif dengan menggunakan cip pemprosesan ini sebagai CPU pilihan untuk binaan komputer anda. Pertama ialah secara teknikalnya cip Intel Core Ultra 7 270K Plus adalah CPU yang sama seperti Intel Core Ultra 9 285K yang dilancarkan sebelum ini, tetapi dengan beberapa penambahbaikan prestasi dan ciri-ciri tambahan yang berguna khususnya untuk mereka yang mahu membina komputer yang boleh melakukan pelbagai jenis tugasan dengan lancar, seperti gaming, penstriman dan menyunting video dengan lebih baik.

Kedua ialah mengikut harga pasaran semasa, cip pemprosesan ini hadir dengan tanda harga kira-kira RM1450-RM1500 bergantung kepada harga kedai, dan apabila dibandingkan dengan beberapa cip pemprosesan lain seperti Intel Core Ultra 9 285K, AMD Ryzen 7 9800X3D dan sebagainya, cip pemprosesan ini tampil sebagai pilihan CPU premium yang cukup baik sekali untuk tanda harga yang tidak begitu mahal.

CPU ini turut tampil dengan sokongan teknologi seperti PCIe 5.0, WiFi7 dan Bluetooth 6.0 secara terbina yang bermakna ia juga boleh menyokong semua aksesori komputer yang menggunakan teknologi sambungan nirwayar terbaru ini tanpa masalah.

Dari segi prestasi juga, anda dapat lihat bahawa CPU ini memperoleh skor penanda-aras yang cukup tinggi, dan jika anda menggunakan komponen-komponen memori, storan dan kad grafik terbaru, CPU ini tidak akan menghadapi masalah bottleneck untuk mendapatkan prestasi terbaik khususnya untuk tujuan gaming.

Walaupun begitu, terdapat satu isu yang sangat ketara yang membelenggu siri cip pemprosesan ini. Walaupun ia baru dilancarkan pada pertengahan tahun ini, Intel dijangka akan melancarkan sebuah lagi siri cip pemprosesan desktop yang lebih baru sama ada pada penghujung tahun ini ataupun awal tahun hadapan, iaitu Intel Nova Lake-S.

Cip pemprosesan tersebut akan hadir dengan arkitektur baharu dengan ciri-ciri yang menjadikan prestasinya lebih hebat lagi apabila dibandingkan dengan penawaran sebelumnya. Ia juga akan dihasilkan menggunakan proses Intel 14A yang terbaru. Mengeruhkan keadaan lagi ialah siri cip pemprosesan ini juga sudah pastinya akan menggunakan soket yang baharu.

Ini bermakna bahawa jika anda mahu membina komputer anda sekarang dan menaiktaraf CPU ke model Nova Lake di masa hadapan, anda masih akan perlu menukar sekurang-kurangnya komponen papan induk apabila ia dilancarkan. Ini juga bermakna bahawa siri cip Intel Arrow Lake Refresh adalah siri CPU terakhir yang akan menggunakan papan induk dengan soket LGA 1851.

Jadi anda akan perlu membuat keputusan sendiri sama ada ia adalah berbaloi untuk anda membeli CPU ini, yang pada pendapat saya masih lagi sebuah CPU yang sangat baik dan boleh menyokong komponen kad grafik sekurang-kurangnya untuk satu ke dua generasi akan datang tanpa masalah, dan dengan penawaran Nova Lake tidak lama lagi, ia juga bermakna bahawa anda akan masih mempunyai banyak pilihan papan induk Intel Z890 ataupun Intel B860 di pasaran untuk sekurang-kurangnya 1-2 tahun akan datang yang mungkin akan turun harganya.

Dalam pada itu, AMD dan Intel juga telah mengembalikan produk-produk CPU lama mereka yang menyokong penggunaan memori DDR4 kerana tanda harga memori DDR5 yang dilihat semakin meningkat, jadi jangkaannya ialah syarikat-syarikat pengeluar cip pemprosesan ini pastinya akan melanjutkan sokongan teknologi sedia ada untuk jangkamasa lebih lama dari yang dijangka.

Penutup

Jika anda mahu membina komputer desktop anda sendiri yang boleh menggerakkan pelbagai jenis aplikasi secara serentak dan mempunyai jangka-hayat yang mungkin boleh bertahan selama beberapa tahun, dan bajet bukanlah sesuatu yang anda risaukan buat masa ini, cip Intel Core Ultra 7 270K Plus mungkin salah satu daripada pilihan yang sesuai untuk anda.

Pilihan cip pemprosesan yang lebih premium ini mungkin akan memakan belanja yang lebih mahal, tetapi ia juga sekurang-kurangnya memastikan bahawa anda mempunyai sebuah binaan komputer yang boleh bertahan lama dari segi sokongan teknologi-teknologi yang lebih baru.

Pro:

  • Prestasi perkomputeran hebat
  • Sokongan teknologi sambungan terbaru
  • Suhu operasi yang tidak terlalu tinggi
  • Tanda harga yang tidak begitu mencekik darah

Kontra:

  • Siri CPU terakhir yang menyokong platform papan induk LGA 1851
  • Fungsi lewahjam manual hanya disokong pada siri papan induk Intel Z890
  • Intel akan melancarkan siri CPU desktop baharu pada penghujung tahun ini

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts