by Oh! Semput
Nothing Headphone (1) merupakan sebuah headphone yang cukup padu pada masa ia dikeluarkan, dan dianggap sebagai antara headphone yang terbaik pada julat harganya, lebih-lebih lagi kerana reka bentuknya yang paling menonjol di pasaran, kawalan butang yang lebih praktikal, dan sokongan Parametric EQ (PEQ).
Tetapi, headphone itu juga mempunyai isunya tersendiri seperti prestasi ANC yang kurang berkesan, reka bentuk yang tidak boleh dilipat, dan penghasilan haba pada telinga selepas memakainya untuk beberapa ketika.
Jadi, Nothing kini kembali dengan iterasi baharu dalam siri Headphone, iaitu Nothing Headphone (1) Pro, untuk menggantikan model terdahulu. Pada tanda harga RM1,499, ia bermain dalam liga headphone ANC flagship seperti Sony WH-1000XM6 dan Bose QuietComfort Ultra (2nd Gen).
Jadi, adakah ia lebih baik berbanding model lama?
Setelah lebih sebulan melayan lagu dengannya, ada sepatah dua tiga empat lima kata saya ingin katakan.
Seperti Nothing Headphone (1), Nothing mengekalkan falsafah reka bentuk cawan telinga berbentuk segi empat tepat pada headphone ‘Pro’ ini. Saya amat gemar reka bentuk seperti ini kerana ianya lain daripada yang lain, dan pastinya akan menarik perhatian orang ketika memakainya.

Untuk menepati nama ‘Pro’, mereka menggunakan bahan yang lebih premium, seperti logam ‘machined’ serta kaca 9H Panda (yang tahan calar) pada bahagian luar cawan telinga untuk menampakkannya sebagai sebuah penambahbaikan berbanding model lama.
Apabila saya memegangnya buat kali pertama, ia sememangnya terasa lebih premium. Cuma, headband yang diperbuat daripada plastik rasa tidak jauh beza berbanding model lama.
Dengan berat 327g, ia ringan sedikit berbanding model lama, tetapi masih lagi terasa beratnya apabila memakainya.
Walaupun masih lagi berat, ia terasa lebih selesa berbanding model lama kerana earpad dan kusyen pada headband yang lebih tebal dan lebih lembut. Akan tetapi, haba masih terjana di telinga apabila memakainya selama lebih sejam.

Earpad kini lebih mudah untuk dicabut, maka selamatlah jari saya daripada disakiti ketika saya cuba mencabutnya.

Sama seperti Headphone (1) dan (a), headphone ini juga mempunyai penarafan IP52, bermakna ia boleh tahan debu dan sedikit titisan air hujan, tetapi saya sarankan untuk tidak menggunakannya ketika meredah hujan yang lebat kerana ia tidaklah kalis air sepenuhnya.

Walaupun ada penarafan sebegini, saya masih lagi tidak boleh menerima hakikat bahawa headphone ini masih lagi tidak boleh dilipat, membuatkannya kurang portable. Sony WH-1000XM6 dan Bose QuietComfort Ultra (2nd Gen) boleh sahaja dilipat, jadi saya merasakan ini bukan isu kos, tetapi semata-mata untuk mengekalkan falsafah reka bentuk model lama. Sepatutnya Nothing berinovasi dengan lebih lanjut…
Satu lagi yang saya kurang gemar adalah pilihan warnanya, iaitu putih dan hitam sahaja, yang bagi saya membosankan. Sepatutnya Nothing menawarkan pilihan warna seperti Headphone (a). Saya cuma mahukan lebih pilihan, Nothing.
Apa pun, ia pastinya terasa premium, dengan penarafan IP52 yang jarang ada pada sebuah headphone secara umum.
Satu perkara yang saya puji Nothing adalah pelaksanaan butang fizikal pada produk audio mereka, termasuklah pada headphone ini. Ia semestinya lebih praktikal dan kurang menjengkelkan berbanding kawalan sentuh pada headphone lain seperti Sony WH-1000XM6.
Setakat ini, semua butang responsif dan tiada masalah ‘delay’.
Butang-butang seperti butang utama pada cawan telinga kanan dan butang ‘roller’ boleh diubah suai fungsinya melalui aplikasi Nothing X, tetapi fungsi butang lain seperti ‘paddle’ tidak boleh diubah.
Satu perkara yang saya kurang gemar adalah butang ‘roller’ masih lagi diperbuat daripada getah. Mungkin pada awalnya, pelarasan volume cukup responsif, tetapi apabila ia digunakan pada jangka masa panjang, butang ini akan haus dan pelarasan volume menjadi kurang responsif, seperti pada model Headphone (1).
Saya agak terkejut kerana Nothing mendakwa bahawa model ‘Pro’ ini “…ludicrously over-engineered”, tetapi butang ‘roller’ tidak difikir dua tiga kali untuk kegunaan jangka masa panjang.
Jadi, saya telah membuat gambaran ‘roller’ di bawah yang boleh tahan lebih lama untuk penggunaan jangka masa panjang, dan ‘roller’ ini sepatutnya ada penghenti agar ia tidak berpusing tanpa henti:

Beralih kepada kawalan lain, headphone ini juga dilengkapi dengan ciri ‘over-ear detection’, di mana muzik akan terhenti apabila headphone dibuka dan muzik bermain semula apabila headphone dipakai semula. Dengan ada ciri ini, saya tidak perlu bergantung pada butang ‘roller’ untuk memberhentikan lagu setiap masa.

Jika Headphone (1) mempunyai prestasi ANC yang biasa-biasa dan transparency yang cukup memberangsangkan…
Bagaimana pula dengan model ‘Pro’?
Headphone (1) Pro menunjukkan prestasi yang lebih baik. Nothing mengatakan bahawa headphone ini mampu membatalkan bunyi sekeliling sehingga 46dB berbanding 42dB pada model lama.
Jadi, saya telah menguji headphone ini dalam pelbagai situasi, majoritinya dalam pengangkutan awam.

Berdasarkan pengalaman penggunaan saya, pembatalan hingar secara pasif sudah mampu menurunkan lebih kurang 35% bunyi sekeliling. Apabila ANC dihidupkan pada tetapan ‘High’, ia mampu membatalkan sehingga 75% bunyi sekeliling, bermakna bunyi ambien seperti kipas, penyaman udara, dan enjin kereta mampu dibatalkan. Muzik yang terpasang di kafe juga dapat dikurangkan.
Cuma, ia masih lagi bergelut untuk membatalkan suara orang berborak, jadi ia hanya mampu mengurangkan kekuatan suara itu. Ini suatu perkara yang normal kerana teknologi ANC pada masa kini masih lagi tidak mampu membatalkan suara orang secara sepenuhnya. Headphone flagship seperti Sony WH-1000XM6 juga masih lagi tidak mampu membatalkan suara orang sepenuhnya.
Satu perkara yang menjengkelkan adalah ANC menjadi kurang efektif apabila saya sedang makan atau ternganga. Hal ini kerana kekedapan earpad headphone boleh berubah-ubah, walaupun dengan pergerakan yang paling kecil sekalipun. Walau bagaimanapun, ia masih cukup berkesan dalam menyekat kebanyakan bunyi persekitaran.
Beralih ke mod transparency pula, persekitaran saya dan suara saya kedengaran lebih jelas berbanding model yang lama, dan tiada sensasi ‘occlusion’. Tetapi, ia masih lagi belum sempurna.
Benar bahawa saya dapat menggunakannya sambil bercakap dengan orang, tetapi itu ketika dalam situasi yang tidak terlalu bising. Jika saya berada dalam situasi yang sibuk dan bising, saya masih lagi perlu membuka headphone untuk bercakap dengan orang di sebelah saya.

Mod transparency juga belum lagi sampai ke tahap di mana saya rasa seperti saya tidak memakai sebarang headphone (bunyi ambien yang sangat natural).
Secara keseluruhannya, penambahbaikannya cukup ketara berbanding model lama, tetapi ia masih lagi tidak mampu menandingi Sony WH-1000XM6 dan Bose QuietComfort Ultra (2nd Gen).
Headphone (1) Pro dilengkapi dengan tiga jenis pemacu iaitu pemacu bass dinamik, pemacu precision dinamik, dan pemacu treble xMEMS.

Sebelum masuk ke bab kualiti bunyi, saya ingin nyatakan bahawa headphone ini cukup kuat bunyinya kerana 30% sudah pun cukup kuat bagi saya. Satu perkara lagi yang saya perasan adalah volume headphone secara automatik berada pada 50% apabila ia disambungkan ke mana-mana peranti buat kali pertama. Jadi, diingatkan untuk turunkan volume sebelum memainkan lagu anda.
INGAT: Jagalah pendengaran anda dan jangan sampai rosak gegendang telinga akibat penggunaan ‘volume’ yang terlalu tinggi.

Berkaitan dengan codec Bluetooth, ia menyokong codec SBC, AAC, dan LDAC. Tetapi, tidak kira berapa banyak codec Hi-Res Wireless yang sebuah produk itu sokong, talaan bunyi out of the box itu lebih penting.
Jadi, headphone ni sedap tak bunyinya?
Dengan talaan bunyi oleh Metropolis Studios, iaitu sebuah studio dari London, apa yang saya boleh kata adalah kurang memuaskan. Ini kerana talaan asal menghasilkan vokal dan instrumen yang kedengaran ‘tajam’ dengan bass yang terlalu kuat dan tidak mengasyikkan pada tetapan ‘balanced’. Ia menyakitkan telinga saya sedikit.
Tetapi, dengan bass sekuat ini, pastinya Nothing ingin cuba menarik minat pendengar mainstream.

Berita baik: Ada sokongan Equalizer (EQ) melalui aplikasi Nothing X.
Bagi mereka yang ingin melakukan pelarasan yang lebih mudah (untuk tambah lagi bass), terdapat submenu ‘Simple’.
Tetapi, jika anda rasa tidak cukup, terdapat submenu ‘Advanced’ dengan 8-band Parametric EQ (PEQ) yang mampu memberikan anda kuasa untuk membuat penalaan bunyi lebih lanjut.
Dengan adanya juga ciri mengimport EQ dari kod QR, anda boleh sahaja mengimbas kod QR EQ yang dibuat oleh komuniti untuk ditambah ke dalam aplikasi Nothing X. Saya telah menggunakan EQ buatan seorang audiophile, iaitu Mark Ryan dari saluran YouTube Super* Review.
Tetapan EQ beliau telah membaiki masalah treble yang tinggi dan bunyi ‘tajam’, dan menonjolkan lagi vokal, memperjelaskan lagi instrumen sambil mengekalkan bass yang kuat. Ini memberikan profil bunyi ‘V-shape’ yang bagi saya cukup memuaskan dan agak menyeronokkan tanpa mencucuk gegendang telinga saya.
Walaupun Nothing telah memberikan sokongan PEQ pada headphone ini, ia masih lagi sebuah headphone dengan talaan bunyi yang kurang memuaskan dan agak bermasalah out of the box. Sepatutnya Nothing lebih mengutamakan talaan bunyi yang baik dari awal lagi.
Sebelum saya terlupa, ada juga satu suis ‘FLAT’ pada headphone untuk mengaktifkan EQ ‘flat’ yang juga ditala oleh Metropolis Studios. Nothing mencipta slider ini untuk para pembuat muzik dan penyunting video.

Apabila saya menghidupkan suis ‘FLAT’, vokal dan instrumen menjadi kurang jelas dan soundstage menjadi semakin sempit atau lebih ‘intimate’. Pada telinga saya, mod ini bukanlah ‘neutral’ kerana ia masih ada banyak bass.

Pada pendapat saya, mod ini tidak sesuai untuk melakukan mixing dan mastering. Lebih baik anda membeli headphone seperti Sony MDR-7506 untuk monitoring, dan Sennheiser HD600 untuk mixing dan mastering.
Diingatkan bahawa mod transparency tidak akan berfungsi apabila suis ‘FLAT’ dihidupkan. Hanya mod ANC sahaja berfungsi.
Maka, headphone ini mempunyai profil bunyi yang sangat bassy dan agak ‘tajam’ out of the box, tetapi mujurlah ia boleh dibaiki dengan PEQ. Suis ‘FLAT’ pula sekadar gimik sahaja.
Headphone (1) Pro dilengkapi dengan 10 mikrofon secara keseluruhan, iaitu 5 mikrofon ANC hibrid pada setiap sisi serta algoritma 4 mikrofon khusus untuk panggilan suara.
Walaupun ia mempunyai banyak mikrofon, kualiti suaranya bagi saya cuma biasa-biasa sahaja. Ia tidaklah teruk, tetapi tidaklah istimewa.
Jika saya berada di bilik yang senyap, suara saya kedengaran cukup jelas dan memadai untuk digunakan ketika membuat panggilan dalam talian.
Cuma, apabila saya berada di kafe dengan bunyi orang berborak dan muzik bermain di latar belakang, ditambah pula jika saya tidak bercakap dengan cukup kuat, suara saya akan kedengaran agak ‘muffled’ dan kurang jelas.
Secara keseluruhannya, ia masih boleh digunakan untuk menjawab panggilan sekali-sekala, tetapi headphone ini bukanlah pilihan terbaik jika anda selalu membuat panggilan dalam talian di tempat yang bising.
Berdasarkan maklumat daripada Nothing, headphone ini dikatakan mampu bertahan sehingga 68 jam dengan ANC dimatikan dan codec AAC.
Ini menunjukkan bahawa hayat baterinya kurang berbanding model sebelumnya (80 jam dengan ANC dimatikan), walaupun bateri ‘Pro’ besar sedikit, iaitu 1060mAh. Berkemungkinan hayat baterinya kurang kerana terdapat tiga pemacu yang memakan lebih banyak bateri.
Apabila ANC dihidupkan pula, Nothing menyatakan ia mampu bertahan sehingga 30 jam pada codec AAC (atau 28 jam dengan LDAC). Walaupun begitu, hayat baterinya masih cukup lama bagi saya, dan masih solid pada tanda harga ini apabila dibandingkan dengan pesaing.
Berdasarkan penggunaan saya, ia sememangnya mampu bertahan sepanjang hari walaupun mod ANC atau transparency dihidupkan. Setakat ini, saya sudah menggunakannya hampir 4 hari, dan baterinya masih lagi berbaki 45%. Tetapi, saya tidaklah menggunakannya secara berterusan. Walau bagaimanapun, ia dikira mampu bertahan lama.
Beralih kepada pengecasan, pengecasan penuh melalui USB-C mengambil masa sekitar 2 jam, manakala pengecasan pantas selama 5 minit mampu memberikan sehingga 4 jam penggunaan tanpa ANC atau 2 jam dengan ANC. Dalam percubaan saya, mengecas selama 15 hingga 20 minit mampu menambah sekitar 25% bateri.
Selain menyemak peratusan bateri pada telefon, terdapat juga lampu LED di bahagian bawah cawan telinga kanan. Jika lampu menyala putih, ini bermakna baki bateri adalah lebih 30%, manakala lampu akan menyala merah apabila bateri berada pada 30% atau kurang. Ciri ini sangat berguna apabila anda tidak dapat mengeluarkan telefon dari poket.
Bermula dengan Bluetooth, Nothing telah menambah baik versi Bluetooth pada headphone ini, iaitu Bluetooth 6.1 berbanding versi 5.3 pada model lama. Penambahbaikan ini bukanlah satu perkara yang besar, tetapi ia lebih kepada menambah baik kesambungan antara headphone ini dengan mana-mana peranti, penggunaan bateri yang lebih efisien, dan latency yang lebih rendah.
Selain itu, headphone ini menyokong Google Fast Pair dan Microsoft Swift Pair untuk penyambungan yang lebih mudah pada peranti Android dan Windows.

‘Dual Connection’ juga disokong, membolehkan headphone ini untuk menyambung pada dua peranti serentak.

Headphone ini juga boleh didengari melalui input 3.5mm audio jack, tetapi headphone perlu dihidupkan dahulu kerana tiada pendengaran secara pasif. Oleh sebab itu, anda tidak boleh menggunakan headphone ini apabila kehabisan bateri.
Walaupun begitu, ia masih lagi lebih baik kerana headphone ini masih lagi menggunakan litar aktif (profil bunyi dalam mod wayarles) tanpa mengorbankan kualiti bunyi. Jadi, kualiti bunyi dalam mod wayarles dan berwayar tiada beza.

Tambahan pula, headphone ini juga menyokong mod pendengaran berwayar melalui input USB-C. Dengan ada aspek ini sahaja, headphone ini dikira lebih baik berbanding Sony WH-1000XM6 yang tidak menyokong langsung ciri ini.
ANC juga berfungsi secara berwayar, tidak kira ketika menggunakan input USB-C atau 3.5mm audio jack.

Di seluruh internet, ramai netizen rasa tidak puas hati terhadap sarung keras bagi Headphone (1) Pro. Seorang YouTuber, MKBHD, membandingkannya dengan sarung AirPods Max, lalu memberikan komen berikut:
Saya rasa Nothing telah melihat sarung AirPods Max itu, lalu terfikir, “Kita patut cipta sarung seperti itu, tetapi lebih teruk.”
Malangnya, saya juga bersetuju dengan MKBHD. Jelas bahawa Nothing mahu ‘one-up’ Apple dengan pembuatan sarung keras ini. Walaupun ia mampu melindungi dua-dua cawan telinga, headband masih lagi terdedah, menjadikannya kurang efektif dalam melindungi headphone ini.
Permukaan sarung keras ini juga licin dan berkilat, yang boleh menarik kesan minyak dan cap jari. Ia juga mudah tercalar jika tergesel dengan benda tajam. Malah, ia juga berat (383.5g), menjadikannya kurang portable untuk dibawa ke mana-mana.
Pihak Nothing mendakwa reka bentuk sarung seperti ini dihasilkan sebagai satu “fashion statement”, mungkin untuk digayakan seperti beg tangan. Malah, mereka juga menyertakan cangkuk kunci supaya aksesori boleh digantung pada sarung ini.
Sejujurnya, ia hanyalah sesuatu perkara yang tidak masuk akal dan tidak praktikal.
Terpulanglah jika mereka masih mahu menghasilkan bekas seperti ini pada produk akan datang, tetapi sekurang-kurangnya sediakan ruang untuk menyimpan kabel, dan sertakan juga lubang passthrough supaya headphone masih boleh dicas tanpa perlu mengeluarkannya dari sarungnya. Lubang itu juga boleh ditutup dengan penutup, jadi tiada alasan untuk tidak menyediakannya.
Sarung keras bagi model bukan Pro adalah lebih praktikal kerana ia benar-benar melindungi headphone daripada sebarang impak, dan ia juga mempunyai ruang untuk menyimpan kabel.
Dan apa yang tidak mengejutkan adalah headphone Pro muat dalam sarung keras bukan Pro kerana dimensi yang sama…
Cuma, Nothing tidak menjual sarung keras bukan Pro secara berasingan. Jadi, anda perlu mempertim