by Oh! Semput
Sejak munculnya kamera poket yang lengkap dengan sistem gimbal, kita memang tidak boleh asingkan nama DJI dengan produk tersebut. Bermula dengan Osmo Pocket 1 dan kini sampai generasi yang ke-4 dengan dua model berbeza. DJI Osmo Pocket 4P muncul untuk memberikan pencipta kandungan lebih ruang kreativiti menghasilkan video yang mereka inginkan. Dalam ulasan ini, saya akan terangkan dengan lebih lanjut pengalaman menggunakan DJI Osmo Pocket 4P ini.
| DJI Osmo Pocket 4P | |
| Kamera | Lensa Utama 1″ f/2.0 20mm Lensa Telefoto 1/1.28″, f/1.8, 60mm, 3x Optikal |
| Skrin | 2.0″, 556×314, 1000nits |
| Storan Terbina | 103 GB Micro SD 1TB |
| Mikrofon | 3 pada tubuh |
| Bateri | 1545 mAh Rakaman sehingga 240 minit |
| Berat | 230g |
| Harga | RM2419 – Standard Combo RM2739 – Vlog Combo |
Terlebih dahulu saya ingin membahas sedikit tentang pemilihan nama untuk produk ini. Seperti yang anda tahu, DJI mengeluarkan dua model berbeza untuk Osmo Pocket 4 ini. Saya menyangka yang Osmo Pocket 4P ini akan menggunakan nama ‘Pro’ seperti yang pernah digunakan pada kamera aksi mereka. Namun nama Pocket 4P masih lagi senang untuk membezakan antara dua model itu.

Pocket 4P ini menggunakan dua lensa yang disusun secara menegak, ini sedikit sebanyak membolehkan pengguna untuk membezakan antara model Pocket 4 dan Pocket 4P. Di bawah lensa itu terdapat skrin sesentuh yang boleh mengawal atau mengubah tetapan kamera. DJI turut menambah dua butang baru untuk Pocket 4P ini iaitu butang untuk kawalan zum dan satu lagi adalah butang yang boleh diubah fungsinya mengikut tetapan pengguna.

Selain dari itu, ia masih lagi mempunyai stik untuk kawalan gimbal dan juga butang kuasa yang merangkap butang untuk merakam. Mungkin satu keluhan saya adalah susah untuk mengawal zum pada kamera ini walaupun dengan butang zum yang baru itu. Walaupun stik kawalannya boleh diubah fungsi untuk zum namun saya lebih selesa jika DJI menukarkannya kepada peluncur yang lebih praktikal dan mudah untuk digunakan.

Penutup lensa pada Pocket 4P ini menggunakan sistem klip magnetik jadi ia sangat mudah untuk anda menukar kepada filter yang lain seperti ND atau Black Mist. Pada bahagian gimbal pula terdapat pin yang boleh digunakan untuk sambungkan kepada aksesori seperti lampu terus pada Pocket 4P ini. Namun tambahan aksesori itu membuatkan Pocket 4P ini kelihatan lebih tinggi dan besar sedikit.
Untuk pengalaman penggunaan saya akan fokuskan kepada kebolehan video memandangkan majoriti pengguna akan menggunakan mod video lebih dari mod gambar. DJI Osmo Pocket 4P ini menggunakan sensor 1″ pada lensa utamanya dengan jarak fokal 20mm manakala untuk lensa telefotonya menggunakan sensor 1/1.28″ dengan jarak fokal 60mm.

Kehadiran lensa telefoto ini sememangnya memberikan fleksibiliti yang lebih luas kepada pengguna untuk mendapatkan komposisi yang diingini. Ia menawarkan zum optikal 3x kemudian akan bertukar menggunakan zum digital bermula dari 6x sehingga 12x.
Menerusi kemas kini terbaru, Pocket 4P ini mampu zoom lebih jauh iaitu sehingga 18x. Kualiti zum optikal 3x itu sangat-sangat baik dan masih lagi kelihatan tajam tapi untuk zum digital bergantung kepada sumber cahaya jika agak malap ia akan kelihatan sedikit lembut dan penuh dengan hingar.

Resolusi rakaman maksimum untuk Pocket 4P ini adalah 4K 60FPS dengan rakaman secara melintang. Jika anda merakam secara menegak, resolusi rakaman maksimum hanya 3K 60FPS. Ketiadaan resolusi 4K untuk rakaman secara menegak ini bukanlah satu isu besar untuk saya kerana kualiti rakaman masih lagi kelihatan baik dan tajam. Mungkin pada masa yang akan datang pihak DJI boleh keluarkan kemas kini untuk menyokong rakaman 4K menegak secara natif.

Untuk anda yang inginkan rakaman ‘cinematic’, Pocket 4P mempunyai rakaman Log baharu iaitu D-Log2 yang dapat mengekalkan highlight serta shadow dengan kawalan cahaya sehingga 17EV yang agak tinggi dari beberapa kamera profesional. Namun kelemahannya adalah anda tidak boleh menggunakan zum dengan D-Log2 ini jadi untuk lebih fleksibel saya masih lagi kerap gunakan D-Log 10 bit sahaja.
Perkara yang paling saya sukakan dari rakaman Pocket 4P ini adalah pemisahan antara subjek dan juga latar belakang yang sangat ini. Tidak kisah jika anda menggunakan lensa atau telefoto, autofokusnya sangat pantas dan tepat yang terus dapat berikan kesan bokeh yang cantik. Ciri penjejakan subjek juga tiada apa kelemahan yang boleh saya nyatakan kerana DJI sudah matangkan ciri ini dengan beberapa siri Pocket sebelum ini.

Secara keseluruhannya saya amat berpuas hati dengan kualiti rakaman dari Pocket 4P. Dalam mod biasa tanpa Log, ia dapat memberikan kawalan cahaya yang sangat dan juga penghasilan warna yang cantik. Tambahan pula, DJI telah menambah beberapa filter untuk membuatkan hasil rakaman kelihatan lebih cantik dengan warna-warna seakan film. Ini sesuai untuk anda yang tidak mahu susah payah colourgrade video yang boleh memakan masa.
Bateri
Bateri yang dibekalkan kepada Pocket 4P ini adalah sebesar 1545 mAh. Ketahanan bateri boleh dikatakan agak baik kerana saya dapat gunakan kamera ini dengan baki 50% ketika merakam aksi MotoGP selama dua jam sehingga baki hanya tinggal 10%. Saya boleh jangka yang ia mampu bertahan lebih lama dengan kapasiti bateri yang penuh dan juga jika anda menggunakan tetapan rakaman yang lebih rendah.

Mengecas peranti ini juga tidak makan masa yang lama kerana saya boleh mengecas Pocket 4P ini dari 10% itu sehingga 70% dalam 25 minit sahaja menggunakan powerbank dengan kelajuan pengecasan 30W.
Kesimpulan
Saya boleh nampak yang DJI memasarkan Pocket 4P ini untuk mereka yang inginkan kebebasan dan juga fleksibiliti untuk menghasilkan rakaman dengan jarak fokal berbeza melalui lensa telefoto yang mereka tawarkan. Pengalaman saya menggunakannya juga terasa sangat seronok dan baik. Tidak kiralah sama ada penggunaan secara kasual ataupun untuk rakaman yang kelihatan professional, Pocket 4P ini boleh melakukannya.

Tiada kelemahan besar yang dapat saya terangkan mengenai Pocket 4P kerana peranti ini sendiri sangat berkuasa untuk semua golongan pengguna. Cuma saya rasa bukan semua orang memerlukan lensa telefoto tambahan ini jadi lebih sesuai jika anda memilih Pocket 4 sahaja. Untuk harga permulaan RM2319, saya rasakan apa yang DJI tawarkan pada Pocket 4P ini sangat berbaloi jika anda baru sahaja nak berjinak ke dunia video atau mencipta kandungan.
