by Oh! Semput
Jujur saya katakan bahawa kami di Amanz jarang mengulas tentang aksesori gaming walaupun banyak melaporkan tentangnya dari semasa ke semasa. Baru-baru ini, kami telah diberi peluang untuk menguji salah satu tetikus gaming terbaru oleh Razer, iaitu Razer Viper V4 Pro yang dibangunkan khas untuk digunakan oleh atlet-atlet e-sukan yang secara lazimnya memainkan permainan-permainan seperti DoTA 2, League of Legends, Counter-Strike, Valorant,Apex Legends dan sebagainya.

Kami bukanlah atlet e-sukan profesional, tetapi apabila diberi peluang untuk mencuba aksesori gaming kelas bangsawan ini, ia adalah seperti satu pelawaan yang sukar untuk ditolak. Ini adalah pengalaman dan pendapat kami tentang tetikus gaming atlit ini.
Jika anda ke laman web produk Razer Viper V4 Pro ini, anda akan memperlihatkan banyak spesifikasi dan penjelasan teknikal tentang apakah yang membuatkan tetikus ini menjadi pilihan ramai atlet e-sukan terkemuka seperti Faker dan Zellsis, yang mana kedua-dua daripada mereka merupakan pemain terbaik dalam dua permainan berbeza yang berada dalam genre yang berlainan.

Rekaan tetikus ini yang ergonomik dan selesa untuk pelbagai jenis genggaman (palm, claw, fingertip) menyedarkan saya bahawa sebelum pelbagai jenis teknologi yang dimuatkan ke dalam sebuah tetikus, keselesaan penggunaan merupakan tunjang utama sama ada sesebuah tetikus itu berbaloi dibeli dan digunakan atau tidak, khususnya untuk jangka masa yang panjang, tidak kira untuk kerja ataupun riadah.
Saya juga akan katakan bahawa rekaan ergonomik yang diperlihatkan pada tetikus Viper V4 Pro ini bukanlah sesuatu yang baru, tetapi mereka sekurang-kurangnya telah memilih rekaan tetikus yang pada jangkaan saya ialah yang paling selesa digunakan oleh orang ramai, dan untuk jangka masa yang lama.

Seperti banyak tetikus di pasaran, ia turut hadir dengan empat butang (dua di bahagian atas, dua di bahagian sisi) dan satu roda tatalan yang memang lazim diperlihatkan di kebanyakan tetikus di pasaran. Malah, berat 50g yang disenaraikan untuk berat tetikus ini juga bukanlah sesuatu yang baru. Jenama-jenama lain seperti Logitech, Glorious dan lain-lain juga ada menawarkan tetikus gaming yang sangat ringan, tetapi ia adalah apa yang di dalam tetikus ini yang membuatkannya berbaloi digunakan oleh atlit-atlit e-sukan.
Razer Viper V4 Pro ini juga hadir dengan aksesori pemancar WiFi HyperSpeed Wireless yang wajib digunakan bersama-sama dengan tetikus ini, kerana ia tidak mempunyai sokongan untuk sambungan nirwayar Bluetooth, dan ini bermakna bahawa tetikus ini hanya boleh digunakan samada melalui tambatan pemancar WiFi ataupun sambungan kabel USB sahaja.

Ini bermakna bahawa sekiranya anda kehilangan aksesori pemancar HyperSpeed Wireless, anda akan perlu mencari pemancar baru untuk menggunakan sambungan nirwayar tetikus ini.
Selain daripada pemancar WiFi, aksesori ini juga hadir dengan tiga lampu LED yang boleh diubahsuai untuk memperlihatkan status aspek-aspek tetikus, termasuklah kualiti sambungan, tahap bateri, tahap DPI, tahap pola data ke tetikus dan sebagainya.
Jika anda sudahpun berada dalam ekosistem aksesori Razer sebelum ini, perisian anda pasti sudah biasa menggunakan perisian Razer Synapse, yang merupakan perisian yang digunakan untuk mengemaskini perisian pemandu aksesori Razer, dan dimana pelbagai jenis perubahan dan penyesuaian boleh dilakukan dengan mudah.

Jika anda hanya mahu menggunakan tetikus ini secara sedia ada, tiada keperluan untuk anda memasang perisian ini, tetapi jika anda mahu menyesuaikan tetikus ini dengan corak penggunaan dan permainan anda sendiri, perisian Synapse adalah wajib dipasang pada komputer anda.

Dengan Razer Synapse, anda boleh menetapkan butang-butang pada tetikus ini untuk melakukan apa sahaja yang anda mahukan. Satu fungsi yang menarik ialah Razer Hypershift, yang mana anda boleh menetapkan satu butang pada tetikus untuk mengaktifkan mod Hypershift dimana anda akan boleh mengaktifkan satu lagi set butang secara maya yang hadir dengan fungsi berbeza dengan set butang yang pertama.
Sensitiviti DPI juga boleh ditetapkan dengan profil yang berbeza untuk penggunaan dan permainan yang berbeza, dan sebanyak lima profil DPI berbeza yang boleh ditetapkan. Untuk menukar profil, butang kuasa di bahagian bawah tetikus juga boleh digunakan sebagai butang untuk menukar profil DPI.

Razer Synapse juga boleh digunakan untuk menukar tetapan kuasa tetikus ini untuk menentukan masa yang diperlukan untuk ia menyahaktifkan sambungan apabila ia tidak digunakan, dan juga apabila mod penjimatan bateri perlu diaktifkan.

Anda juga boleh menetapkan sensitiviti sensor tetikus ini bergantung kepada jenis pad tetikus yang digunakan. Razer Malaysia turut menghantar dua jenis pad tetikus yang sangat berbeza untuk menguji tetikus ini, termasuklah Razer Gigantus V2 Pro dan juga Razer Atlas Pro.

Kemaskini perisian tegar (firmware) juga boleh dilakukan melalui perisian Synapse ini. Tetapi seperti yang kami katakan, jika anda hanya mahu menggunakan tetikus Viper V4 Pro ini secara terus dari luar kotak, anda hanya perlu memasangkan pemancar WiFi USB kepada palam USB komputer anda, hidupkan tetikus ini, dan terus gunakannya begitu sahaja.
Satu perkara yang saya sangat suka tentang tetikus Razer Viper V4 Pro ini ialah rekaan ergonomiknya yang selesa digunakan tidak kira untuk tujuan tatalan biasa, ataupun untuk gaming. Saya akan katakan bahawa rupa bentuknya tidak begitu berbeza dengan tetikus Logitech G Pro X Superlight saya, tetapi ini adalah sebahagian daripada sebab mengapa saya sebenarnya gemar menggunakan tetikus ini.

Jadi rupa bentuknya yang menyerupai beberapa tetikus lain bukanlah satu isu besar untuk saya kerana pada penghujung hari, keselesaan pengguna adalah satu aspek yang sangat penting dalam penggunaan aksesori-aksesori seperti ini.
Seterusnya ialah penggunaan palam USB Type-C untuk mengecas tetikus ini. Ini mungkin sesuatu yang kelakar, tetapi tikus yang saya sedang gunakan sekarang menggunakan palam Micro-USB untuk mengecas bateri, dan penggunaan kabel USB Type-C bagi saya bukan sahaja membolehkan tetikus dicas dengan lebih pantas, tetapi mengurangkan keperluan untuk kabel-kabel berbeza kerana semua perkakasan dan peranti elektronik sekarang menggunakan kabel tersebut untuk pengecasan.

Bercakap mengenai bateri juga, Razer Viper V4 menjanjikan ketahanan bateri 180 jam dengan satu pengecasan penuh, bersamaan dengan penggunaan 7.5 hari tanpa henti. Untuk melanjutkan jangka-hayat bateri tetikus ini, anda boleh menggunakan perisian Razer Synapse untuk menetapkan masa sebelum tetikus dimatikan apabila tidak digunakan, dan juga peratusan bateri untuk mengaktifkan mod Low Power untuk melanjutkan masa penggunaan tetikus.
Lapisan PTE di bawah permukaan tetikus ini cukup selesa digunakan dalam pelbagai permukaan, tetapi apabila digandingkan bersama-sama pad tetikus, khususnya pad tetikus Razer, pengalaman gaming anda akan berubah, dan kesesuaiannya bergantung pada keselesaan anda sendiri.

Seperti yang saya katakan sebelum ini, Razer telah menghantar pad tetikus Razer Gigantus V2 Pro dan juga Razer Atlas Pro untuk menguji tetikus ini, dan ini adalah pengalaman saya menggunakan Razer Viper V4 Pro dengan kedua-dua pad tetikus ini.
Pad tetikus Razer Gigantus V2 Pro merupakan pad tetikus dengan permukaan kain dan pad getah di bawahnya yang sangat selesa tetapi masih memberi permukaan yang cukup licin untuk pengalaman gaming yang lancar. Saiznya yang besar juga membolehkan pad tetikus ini digunakan sebagai alas untuk papan kekunci anda, menjadikannya juga sesuai sebagai sebuah alas meja untuk aksesori aksesori gaming anda.

Dengan pad tetikus ini, keselesaan merupakan faktor utama penggunaannya untuk tujuan gaming santai dan tidak memerlukan konsentrasi yang begitu tinggi, seperti permainan-permainan single-player. Permukaan kain juga membolehkan tetikus digerakkan secara senyap, dan ini merupakan satu perbezaan ketara apabila membandingkan pad tetikus ini dengan Atlas Pro.
Razer Atlas Pro merupakan sebuah pad tetikus yang menggunakan kepingan kaca sebagai permukaannya, dan hadir dengan rekaan yang serba nipis. Permukaan kaca terbaja ini membolehkan tetikus Razer Viper V4 Pro ini digunakan sebagai sebuah senjata yang lancar dan jitu dalam permainan-permainan yang memerlukan ketangkasan yang tinggi dan tindak-balas yang pantas.

Jika anda mengubahsuai tetapan DPI dan pergerakan diatas permukaan pad tetikus melalui Razer Synapse, gabungan tetikus ini dan pad tetikus Razer Atlas Pro akan memberikan anda pengalaman gaming yang mengasyikkan. Cuma bagi saya, satu kekurangan yang sangat ketara apabila menggunakan pad tetikus ini ialah tapak PTE pada tetikus ini akan menghasilkan bunyi cakaran yang kuat yang tidak enak untuk didengari.

Malah, bunyi ini cukup kuat untuk saya menjadi risau sekiranya permukaan PTE pada tapak tetikus ataupun permukaan kaca ini akan hadir dengan calar-balar sekiranya saya menggunakan gabungan ini untuk jangka masa yang panjang.
Ini adalah apa yang ditawarkan didalam kotak apabila anda membeli tetikus Razer Viper V4 Pro ini:

Pada tanda harga RM769, tetikus gaming Razer Viper V4 Pro adalah sebuah aksesori premium yang hanya akan dimanfaatkan secara penuh oleh mereka yang memainkan permainan-permainan e-sukan secara serius, atau mereka yang suka mengoptimasikan input untuk semua permainan komputer yang mereka mainkan.
Walaupun begitu, kebergantungan kepada pemancar HyperSpeed Wireless dan ketiadaan sambungan Bluetooth adalah antara aspek negatif yang sukar untuk diketepikan pada tanda harga ini.

Tidak dinafikan bahawa tetikus ini sangat selesa digunakan untuk pelbagai jenis tujuan, dan setiap klik pada semua butang-butang tetikus ini menghasilkan input serta-merta, tidak kira digunakan untuk apa sekalipun. Sokongan perisian yang menyeluruh juga adalah antara yang terbaik sekarang, dan perkakasan dan perisian tersebut sentiasa menerima kemas kini sokongan untuk permainan-permainan popular terbaru.
