by Oh! Semput
Minggu lalu kami laporkan seorang profesor Stanford University mewajibkan ujian diambil dalam kelas kerana mengesyaki pelajar menggunakan kecerdasan buatan (AI). Kesannya ialah, markah purata ujian menjunam 50% dan 18 pelajar terus berhenti mengambil kelas. Menyedari impak penggunaan AI terhadap pelajar, University of Chicago Law School mengharamkan penggunaan telefon, tablet dan komputer dalam kelas oleh pelajar tahun pertama.
Arahan akan dikuatkuasakan bermula sesi kuliah musim luruh akan datang. Pelajar perlu mengambil nota dalam kuliah menggunakan pensel, pen dan kertas. Seorang sahaja pelajar akan dilantik untuk menulis nota kelas dalam bentuk digital semasa kuliah berjalan. Kesemua peperiksaan juga akan diduduki dalam kelas tanpa akses kepada internet, fail elektronik dan aplikasi.

Langkah drastik diambil oleh universiti berprestij ini bagi mengurangkan kebergantungan kepada AI dan memastikan pelajar menguasai pemikiran kritikal, strategik dan bebas sebelum menggunakan alat AI dalam mengamalkan undang-undang.
Sungguhpun begitu universiti menyedari bahawa pendidikan undang-undang yang ketat memerlukan penyesuaian pantas terhadap gangguan AI dalam pendidikan tinggi. Adalah tidak realistik untuk mengharamkannya secara menyeluruh.
Oleh itu pensyarah masih boleh membenarkan penggunaan peranti untuk aktiviti tertentu seperti melakukan undian dalam kelas. Pelajar bopleh menggunakan AI untuk penyelidikan dan tugasan penulisan, tetapi tidak boleh menggunakan AI untuk menulis tugasan tersebut. Semua penggunaan AI akan kemudiannya disemak oleh fakulti. Akhir sekali universiti juga akan menawarkan kursus elektif peringkat atas mengenai penggunaan dan adaptasi AI dalam bidang undang-undang.
Penggunaan AI oleh peguam adalah antara isu besar dalam dunia undang-undang. Sudah berlaku beberapa kes dokumen yang diserahkan ke mahkamah mengandungi fakta salah kerana AI melakukan halusinasi. Pelanggan pula mempertikaikan bayaran tinggi mengikut jam dikenakan firma guaman sekiranya alat AI digunakan secara meluas.