by Oh! Semput
Seorang wanita berusia 47 tahun maut selepas dihempap tiang besi yang tumbang apabila dirempuh sebuah kereta di sebuah medan selera di Bandar Mahkota Cheras, Kajang, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.15 pagi dan membabitkan sebuah kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 35 tahun.
Siasatan awal mendapati kenderaan terbabit dipercayai memasuki kawasan ruang makan selepas pemandunya tersalah menekan pedal minyak.
Pemandu berkenaan kemudiannya cuba mengeluarkan kenderaan dari kawasan medan selera. Ketika itu, mangsa dipercayai bertindak menghampiri dan berlari ke arah kereta berkenaan dalam usaha menghalang atau menghentikannya.
Ketika kenderaan membuat pusingan untuk keluar, kereta tersebut dipercayai merempuh sebatang tiang besi sehingga menyebabkan struktur berkenaan tumbang.
Tiang itu kemudian menghempap kepala mangsa. Wanita terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah yang dialami.
Pemandu kereta turut mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum ditahan polis bagi membantu siasatan.
Semakan awal mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti keadaan sebenar yang menyebabkan kenderaan terbabas ke kawasan medan selera serta kejadian tiang besi tumbang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-456 5502 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Wanita Maut Dihempap Tiang Besi Selepas Dirempuh Kereta Di Medan Selera first appeared on #1 The News Malaysia.