by Oh! Semput

Manila: Kumpulan bersenjata menembak mati tujuh orang, termasuk tiga remaja dan seorang wanita hamil di Caloocan, semalam, dalam kejadian yang polis percaya akibat pertelingkahan berkaitan urusan jual beli dadah.
Ketua Polis Daerah Superintendan Roberto Fajardo berkata, seorang daripada empat lelaki bersenjata itu sudah berjaya ditahan hasil maklumat seorang mangsa yang terselamat.
Menurut Fajardo, sekumpulan anak muda termasuk tiga remaja berusia 15, 16 dan 18 tahun sedang berpesta dalam sebuah rumah yang disyaki pusat penagihan dadah apabila kumpulan bersenjata menyerbu masuk dan melepaskan tembakan.
Penyerang itu kemudian mengikut seorang mangsa yang melarikan diri ke sebuah rumah berdekatan dan membunuh seorang wanita hamil serta ibu mentua wanita itu.
Polis percaya rumah berkenaan adalah pusat pengedaran dadah dan sejumlah methamphetamine serta paraphernalia ditemui dalam rumah itu.
Presiden Filipina mengisytiharkan perang terhadap pengedar dadah sejak berkuasa enam bulan lalu dan sehingga kini, lebih 6,000 dibunuh dalam kes berkaitan dadah dengan hanya satu pertiga oleh operasi polis manakala selebihnya dipercayai dilakukan pihak yang melaksanakan undang-undang sendiri membunuh mereka disyaki pengedar serta penagih dadah.