Guru Wanita, Anak Lelaki Maut Selepas MPV Dinaiki Tiga Sekeluarga Terbabas Di Kilometer 149, Jalan Kuantan-Seremban Malam Tadi

by Oh! Semput


4
SHARES
48
VIEWS
Posted on 22 Aug 2026 13:30:36


ROMPIN: Seorang guru wanita dan anak lelakinya maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki tiga sekeluarga terbabas di Kilometer 149, Jalan Kuantan-Seremban, dekat Kampung Bukit Serok, Muadzam Shah, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, suami mangsa yang juga pemandu MPV berkenaan parah.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi, berkata ketika kejadian, tiga sekeluarga terbabit dalam perjalanan dari Seremban, Negeri Sembilan ke Felda Keratong 1, Muadzam Shah.

“Hasil siasatan mendapati MPV terbabit dipercayai terlanggar kayu di atas jalan menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan sebelum terbabas ke gaung di kanan jalan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sharif Shai berkata, dalam kemalangan itu, Kartine Ngatenan, 46, guru di sebuah sekolah di Seremban, dan anaknya, Muhammad Akif Mohd Azmi, 6, tersepit dalam kenderaan dan maut di tempat kejadian.

Pemandu MPV, Mohd Azmi Mohahir, 47, pula parah dan dirawat di Hospital Muadzam Shah.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu pada jam 9.56 malam.

Katanya, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah bergegas ke lokasi sejurus menerima laporan dan tiba pada jam 10.35 malam.

“Ketika tiba di lokasi, didapati guru terbabit tersepit di tempat duduk penumpang hadapan MPV berkenaan, manakala anaknya di tempat duduk penumpang belakang.

“Bomba terpaksa memotong MPV itu menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mayat dua beranak terbabit,” katanya.

Mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. #BuletinTV3

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts