by Oh! Semput
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua pihak termasuk pemimpin politik supaya tidak menyentuh isu berkaitan etnik, agama, budaya dan latar belakang kaum lain kerana perkara itu boleh menimbulkan pelbagai tafsiran serta menjejaskan keharmonian masyarakat.
Memetik laporan daripada Utusan Malaysia, Timbalan Perdana Menteri itu menyatakan, Malaysia merupakan sebuah negara yang dibina atas kepelbagaian kaum dan budaya, justeru semua pihak perlu menghormati kemajmukan rakyat serta mengelakkan perkara yang boleh mencetuskan salah faham.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika berucap pada ceramah di Jempol yang menyentuh mengenai asal-usul tanah air masyarakat Melayu, India dan Cina sebelum mengajak Pas serta UMNO kembali bersatu bagi mempertahankan bangsa dan agama.
Tambah beliau, sekiranya mahu menjalinkan hubungan yang baik, ia perlu dilakukan dengan cara yang betul tanpa membangkitkan perkara yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat.
Dalam masa sama, Ahmad Zahid mengaskan beliau tidak berniat untuk menasihati Muhammad Sanusi, sebaliknya hanya mengingatkan bahawa kenyataan sedemikian mungkin lebih sesuai disampaikan kepada khalayak di Kedah.

Ahmad Zahid turut meminta Muhammad Sanusi memberi tumpuan kepada tanggungjawabnya di Kedah dan tidak perlu hadir berkempen di Negeri Sembilan sehingga hari pengundian.
: Utusan Malaysia (Fatin Norizati Mat Isa)