by Oh! Semput
CADANGAN bagi menghapuskan semua wang kertas benilai besar dalam negara kita dan digantikan dengan penggunaan transaksi kewangan secara elektronik sebagai salah satu langkah untuk membenteras jenayah serta mengatasi masalah rasuah adalah tidak sesuai dan realistik untuk dilaksanakan.
Kegiatan jenayah dan rasuah akan tetap berlaku walau dalam apa-apa bentuk transaksi pun termasuk melalui penggunaan transaksi elektronik.
Seperti yang diketahui umum, kita sering didedahkan dengan pelbagai kisah penipuan yang boleh berlaku melalui sistem transaksi elektronik dalam negara kita seperti yang melibatkan proses pengodaman, penipuan, penyamaran, penyalahgunaan maklumat dan lain-lain lagi.
Selain daripada risiko berlakunya kegiatan jenayah melalui transaksi elektronik, kebergantungan terhadap transaksi elektronik akan mengundang masalah lain kepada masyarakat kita seperti masalah boros berbelanja, masalah hutang yang tidak dibayar serta terdedah terhadap bayaran-bayaran sampingan yang perlu dibayar sekiranya kita menggunakan transaksi elektronik.
Tambahan pula tidak semua tempat dalam negara kita disediakan dengan kemudahan transaksi secara elektronik, ini secara tidak langsung akan memberi beban tambahan kepada pihak pengguna untuk melakukan aktiviti harian mereka bagi membeli sesuatu barangan atau mengunakan sesuatu perkhidmatan.
Oleh yang demikian, penggunaan sistem wang secara konvensional seperti wang tunai dilihat masih diperlukan dalam negara kita untuk kemudahan dan kesenangan semua pihak melakukan urusan harian.
Cara lain harus difikirkan bagi mengekang kegiatan jenayah termasuk rasuah dalam negara kita selain daripada cadangan menjadikan rakyat kita sebagai masyarakat tanpa tunai seperti penguatkuasaan undang-undang sedia ada serta kerjasama semua pihak dalam masyarakat untuk membantu pihak berkuasa bagi membenteras segala kegiatan jenayah yang melibatkan pengunaan wang termasuk kegiatan rasuah.
Usaha pendidikan yang berterusan juga dilihat boleh memainkan peranan penting bagi melahirkan kesedaran dikalangan semua pihak untuk tidak melibatkan diri mereka ke dalam mana-mana kegiatan jenayah.