by Oh! Semput
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu rakyat Negeri Sembilan supaya terus memberikan kepercayaan kepada gabungan itu di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung.
Menerusi kenyataan beliau di media sosial, Perdana Menteri menyatakan, pelbagai usaha pembangunan hasil kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan telah memberi manfaat kepada rakyat dan perlu diteruskan.
“Alhamdulillah, saudara Aminuddin Harun atau Tok Min telah memimpin Negeri Sembilan sejak 2018 dengan amanah, sederhana dan berintegriti.
“Hasil keserasian antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, banyak usaha pembangunan telah dilaksanakan demi manfaat rakyat, dan masih banyak lagi yang perlu kita teruskan.
“Dengan penuh rasa rendah diri, saya merayu kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan agar terus memberikan kepercayaan kepada HARAPAN di bawah pimpinan Tok Min. Jangan biarkan usaha yang telah kita bina bersama ini terhenti di pertengahan jalan,” katanya.
Menurut Anwar, mandat daripada rakyat amat penting bagi memastikan Negeri Sembilan terus ditadbir oleh sebuah kerajaan yang bersih, stabil dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.
Beliau menambah, PH komited untuk meneruskan agenda pembangunan serta memikul amanah yang diberikan demi kesejahteraan negeri itu.
“Insya-Allah, HARAPAN akan terus memikul amanah ini dengan sebaik-baiknya demi masa depan Negeri Sembilan yang lebih makmur dan Sejahtera,” katanya.

Foto: Media MBNS
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos, manakala hari penamaan calon dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini dan pengundian awal pada 28 Julai.
PRN Negeri Sembilan 2026 akan menyaksikan pertandingan bagi kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan beberapa gabungan politik dijangka bersaing sengit untuk membentuk kerajaan negeri.
: Facebook Anwar Ibrahim