by Oh! Semput
Golongan berpengaruh diberi amaran supaya tidak campur tangan dalam urusan Polis Diraja Malaysia (Polis Diraja Malaysia) ketika melaksanakan sebarang tindakan undang-undang, terutama membabitkan kes berprofil tinggi dan jenayah berskala besar.
Memetik laporan daripada Buletin TV3, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan tindakan itu akan menjejaskan siasatan, sekali gus menyulitkan pihak berkuasa menjalankan tugas mereka.

Dalam pada masa yang sama, Anwar turut menghargai keberanian PDRM selepas dilihat lebih agresif menumpaskan sindiket dan golongan perasuah yang sebelum ini seolah-olah ‘kebal’ daripada tindakan undang-undang.
Beliau berkata, kerajaan menerusi kerangka MADANI komited memastikan undang-undang tidak lagi dirangka atau dilaksanakan hanya untuk memihak kepada kelompok tertentu yang mempunyai kuasa dan harta.

Ujarnya, PDRM perlu terus meningkatkan tahap profesionalisme dan integriti sebagai prasyarat utama dalam memacu transformasi negara.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; dan Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh. Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
: Buletin TV3 (Muhammad Yusri Muzamir dan Ilah Hafiz Aziz)