Apple Digesa Henti Rancangan Beli Cip Dari China, Senator AS Bangkitkan Isu Keselamatan

by Oh! Semput


6
SHARES
82
VIEWS
Posted on 30 Jul 2026 11:00:24

Sekumpulan senator Amerika Syarikat menggesa Apple untuk tidak meneruskan rancangan mendapatkan cip memori daripada syarikat semikonduktor China, CXMT dan Yangtze Memory Technologies (YMTC), walaupun cip tersebut hanya digunakan pada produk untuk pasaran China.

Memetik laporan Bloomberg, dalam surat yang dihantar kepada CEO Apple, Tim Cook, para senator berkata kedua-dua syarikat itu telah disenaraikan Pentagon sebagai entiti yang dipercayai mempunyai kaitan dengan tentera China. Mereka berpandangan penggunaan cip daripada syarikat berkenaan boleh menyebabkan Apple bergantung kepada pembekal yang dianggap sebagai ancaman keselamatan oleh Amerika Syarikat.

Desakan itu hadir ketika Apple dilaporkan sedang berunding dengan CXMT dan YMTC bagi mendapatkan bekalan cip memori susulan kekurangan bekalan global serta kenaikan harga memori. Pada Jun lalu, Apple turut menaikkan harga beberapa produknya dengan menyatakan kekurangan cip memori sebagai antara faktor utama.

“Had bahawa cip memori CXMT buat masa ini hanya akan digunakan pada peranti yang dijual di China tidak boleh dianggap akan kekal, kerana sebaik sahaja sesuatu komponen diluluskan untuk digunakan dalam pengeluaran Apple, ia hanya memerlukan satu keputusan perolehan untuk digunakan di seluruh dunia,” kata mereka.

Mereka turut menolak dakwaan penggunaan cip memori dari China akan membantu mengurangkan kos. Berdasarkan analisis yang dipetik, harga cip CXMT dalam sesetengah keadaan dilaporkan lebih tinggi berbanding pesaingnya.

Selain itu, para senator meminta Apple menjelaskan sama ada syarikat itu berkongsi maklumat teknikal dengan CXMT sepanjang proses penilaian cip tersebut. Apple juga diminta untuk memberi komitmen selewat-lewatnya pada 21 Ogos bahawa syarikat itu tidak akan menggunakan cip memori daripada CXMT atau YMTC dalam mana-mana produknya.

Ini bukan kali pertama Apple berdepan bantahan berkaitan pembekal cip China. Pada 2022, usaha syarikat itu untuk mendapatkan bekalan memori daripada YMTC turut dibatalkan selepas menerima tentangan daripada pihak berkuasa di Washington.

{suggest}

Apple Digesa Henti Rancangan Beli Cip Dari China, Senator AS Bangkitkan Isu Keselamatan WISER.MY.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts