Apple Perkenal Mac Studio Dengan M5 Max, M5 Ultra – GPU Sehingga 80-Teras, Harga Bermula RM10,999

by Oh! Semput


3
SHARES
40
VIEWS
Posted on 26 Aug 2026 04:00:12

Apple kini memperkenalkan Mac Studio baharu dengan pilihan cip M5 Max dan M5 Ultra, yang membawa peningkatan besar pada prestasi AI, grafik dan tugasan profesional. Dalam konfigurasi tertinggi, ia hadir dengan sehingga 512GB RAM, selain sokongan Thunderbolt 5, Wi-Fi 7 dan Bluetooth 6 buat kali pertama.

Menurut Apple, prestasi AI kini sehingga 4.3x lebih pantas, grafik sehingga 1.8x lebih pantas, storan sehingga 2x lebih pantas dan prestasi CPU sehingga 1.3x lebih tinggi berbanding generasi sebelumnya.

Bagi konfigurasi M5 Max, cip tersebut hadir dengan CPU 18-teras dan GPU sehingga 40-teras, dengan Neural Accelerator pada setiap teras GPU. Ia turut menyokong sehingga 128GB RAM dengan memori mencecah 614GB/s.

Keupayaan grafiknya dipertingkatkan dengan hardware-accelerated ray tracing generasi ketiga, manakala Media Engine pula menyokong hardware-accelerated H.264, HEVC, ProRes dan penyahkodan AV1. Gabungan ini disasarkan kepada kerja seperti pembangunan permainan, grafik 3D, VFX, penyuntingan video dan pembangunan perisian.

Untuk pengguna yang memerlukan lebih banyak kuasa, M5 Ultra meningkatkan konfigurasi tersebut kepada CPU sehingga 36-teras dan GPU sehingga 80-teras. Ia juga menyokong sehingga 512GB RAM, dengan memori sehingga 1.2TB/s.

Kapasiti memori yang besar ini juga menjadi asas kepada keupayaan AI pada peranti. Apple menyatakan model berasaskan M5 Ultra boleh digunakan untuk menjalankan model bahasa raya (LLM) bersaiz sangat besar terus pada peranti, tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada pemprosesan awan.

Apple turut membolehkan sehingga empat unit Mac Studio digabungkan menggunakan Thunderbolt 5 dan RDMA (remote direct memory access) untuk berkongsi sumber memori. Menurut Apple, gabungan empat unit itu boleh memberikan prestasi inferens AI sehingga 3x lebih pantas berbanding satu unit.

Untuk pemprosesan video, M5 Ultra dilengkapi Media Engine dengan dua kali ganda blok pengekodan dan penyahkodan video berbanding M5 Max, membolehkannya memainkan sehingga 33 aliran 8K ProRes 422 pada 30fps secara serentak.

Dari segi sambungan, ia menawarkan sehingga 12 port, dengan empat Thunderbolt 5, dua USB-C atau dua Thunderbolt 5 tambahan, bergantung pada model. Ia turut dilengkapi dua USB-A, HDMI, Ethernet, slot kad SDXC dan bicu fon kepala. Thunderbolt 5 menyokong kadar pemindahan sehingga 120Gb/s, manakala keseluruhan sistem menyokong sehingga lapan paparan, termasuk sehingga empat Studio Display XDR pada resolusi 5K dan kadar segar semula 120Hz.

Pada masa sama, cip N1 membawa Wi-Fi 7 dan Bluetooth 6 ke desktop tersebut buat kali pertama. Apple turut menambah sokongan genlock melalui USB-C untuk penyelarasan yang tepat (precise synchronisation) antara paparan dan peralatan kamera profesional.

Model baharu ini juga akan hadir bersama macOS 27 Golden Gate, yang membawa beberapa penambahbaikan kepada AirDrop, Safari, Spotlight, Photos, Mail, Maps, Notes dan Podcasts.

Harga dan ketersediaan

Di Malaysia, harga untuk konfigurasi M5 Max bermula RM10,999, manakala versi M5 Ultra bermula RM24,999. Harga pendidikan pula bermula RM10,099 untuk M5 Max dan RM23,199 bagi M5 Ultra.

Prapesan dibuka mulai 27 Ogos, dengan unit mula tersedia kepada pelanggan serta di Apple Store dan Apple Authorised Resellers pada 22 September 2026. Konfigurasi dengan 512GB RAM pula akan tersedia pada akhir Oktober.

{suggest}

Apple Perkenal Mac Studio Dengan M5 Max, M5 Ultra – GPU Sehingga 80-Teras, Harga Bermula RM10,999 WISER.MY.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts