by Oh! Semput
SELEPAS lebih lima tahun menghentikan aktiviti lakonan, pengacara dan pelakon Awal Ashaari bakal kembali menjejakkan kaki ke lokasi penggambaran apabila terlibat dalam sebuah drama bersiri tidak lama lagi.
Awal, 36, yang ditemui baru-baru ini berkata, dia bakal muncul dengan sebuah drama bersiri 30 episod bawah arahan pengarah terkenal Michael Ang.
Meskipun gementar, namun pelakon filem Syurga Cinta itu tetap teruja untuk kembali berlakon. Sebagai persediaan, dia baru sahaja mengurangkan berat badan sebanyak sembilan kilogram (kg).
Ikuti kisah lanjut bapa kepada kanak-kanak popular, Lara Alana itu mengenai rutin baharunya
Khabarnya Awal akan kembali berlakon tidak lama lagi. Boleh ceritakan lanjut mengenai perkara tersebut?
AWAL ASHAARI: Selepas beberapa tahun tidak berlakon, Insya-Allah tahun ini akan kembali aktif. Sebagai permulaan, saya akan turun ke set penggambaran sebuah drama bersiri sebanyak 30 episod. Soal judul, jalan cerita, watak dan barisan pelakon lain dalam drama tersebut masih belum pasti kerana saya belum diberikan skrip. Drama tersebut akan memulakan penggambaran sebelum Hari Raya Puasa nanti.
Apa yang membuatkan anda kembali ke dunia lakonan?
Banyak sebab sebenarnya. Salah satu daripadanya tentulah persoalan daripada peminat yang selalu bertanya bila saya akan kembali berlakon. Secara jujurnya, saya bukanlah seorang pelakon yang bagus tetapi ada peminat yang mahu melihat lakonan saya di kaca televisyen. Pernah dahulu saya fikir mahu berhenti berlakon tetapi apabila difikirkan semula, kerja apa lagi yang boleh dibuat selain terlibat dalam dunia seni.
Meskipun saya sangat aktif dengan dunia pengacaraan buat masa sekarang, tetapi harus diingat bidang seni sentiasa akan ada bakat baharu. Untuk kekal dalam sesuatu bidang bagi tempoh yang lama bukanlah mudah, malah isteri adalah pendorong utama mengapa saya kembali berlakon. Jadi, saya fikir kenapa tidak untuk melakukannya selepas banyak kali menolak tawaran sebelum ini.
Adakah anda ada membuat sebarang persediaan sebelum kembali ke set penggambaran?
Sudah tentu ada. Perkara pertama adalah berat badan. Baru-baru ini berat badan saya naik tetapi selepas banyak bersenam di pusat gimnasium, ia turun menjadi 78kg daripada 86kg. Tentang teknik dan gaya lakonan, saya perlu belajar semula kemahiran berlakon terutamanya daripada segi penghayatan. Perasaan berdebar dan kekok tetap ada sebab saya sudah lama tinggalkan bidang ini dan untuk bermula semula bukan mudah. Orang terdekat yang saya boleh dijadikan rujukan tentunya isteri sendiri, Scha al-Yahya.
Adakah anda ada meletakkan sebarang syarat dalam lakonan selepas ini?
Tidak. Kalau dapat watak apa pun, saya terima sahaja sebab tahun ini permulaan untuk saya kembali aktif. Kalau dahulu, saya selalu membawa watak lelaki kaki perempuan, anak orang kaya atau remaja, sekarang mungkin tawaran yang datang harus sesuai dengan umur dan imej saya. Jika diberi watak sebagai suami atau bapa orang, saya lagi suka sebab ia sangat berkaitan dengan hidup saya sekarang.
Bagaimana pula dengan bidang pengacaraan? Boleh jelaskan tentang dakwaan mengatakan anda hanya memilih projek atau anugerah berskala mega sahaja?
Sejujurnya, tidak. Saya tidak memilih tawaran, tidak kira sama ada projek pengacaraan majlis berskala besar atau kecil, semuanya saya okey. Stesen televisyen mana pun yang menawarkan saya peluang mengacara, ia tidak menjadi masalah sama sekali. Saya juga teringin terlibat dengan program jelajah atau berbentuk santai tetapi sehingga kini tidak diberi tawaran. Saya juga tidak pasti kenapa. Mungkin apabila orang melihat saya kerap mengacara program besar, mereka fikir saya tidak mahu buat program sebegitu.
Baru-baru ini terdapat laporan mengatakan anda sekeluarga tergolong dalam keluarga selebriti terkaya di Malaysia, boleh jelaskan tentang perkara itu?
Pada mulanya saya agak terkejut juga dengan laporan itu sebab jika diikutkan pendapatan saya seorang, ada lagi orang lain yang dibayar lebih mahal. Apabila difikirkan semula, mungkin laporan itu menggabungkan pendapatan saya, isteri dan anak kami, Lara Alana. Saya akui, perkara sebegini boleh memberi risiko keselamatan kepada saya dan keluarga daripada segi keselamatan dan cukai pendapatan.
Baca lagi: Awal Ashaari Persenda Dialek Sabah?