by Oh! Semput
Tidak sampai 24 jam dilantik sebagai menteri dengan tugas-tugas khas di Jabatan Perdana Menteri (JPM) sudah banyak pihak yang membuat pelbagai andaian itu dan ini.
Namun, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjelaskan pelantikan beliau bagi membantu meringankan beban tugas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“(Kita ada) banyak kerja.
“Contohnya hari ini dengan (lawatan) pegawai Raja Salman, ia tidak berkisar dengan Mindef (Kementerian Pertahanan) sahaja tetapi ia melibatkan KDN (Kementerian Dalam Negeri), Kementerian Pendidikan Tinggi.
“Kami proaktif, work in progress dan kalau ada tugas dan keperluan baru yang perlu kita hadapi maka penyesuaian dari segi portfolio dan tanggungjawab boleh dilakukan atas budi bicara dan kuasa PM. Ini keputusan dia (PM) sendiri,” kata Hishammuddin.
Hishammuddin berkata demikian dalam sidang media sempena lawatan rasmi penasihat Raja Arab Saudi, Dr Muhammad Abdul Karem Al-Issa di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini.
Sebentar tadi, Najib mengumumkan pelantikan Hishamuddin sebagai menteri dengan tugas-tugas khas di Jabatan Perdana Menteri, berkuat kuasa hari ini.
Dalam kenyataannya, Najib turut menjelaskan bahawa Hishamuddin masih kekal sebagai menteri pertahanan.
Mengulas lanjut berhubung apakah tugas khusus yang diamanahkan kepada beliau, Hishammuddin yang juga naib presiden Umno berkata ia akan dibincangkan kemudian dengan Najib.
Malah, beliau juga akan bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi agihan tugas itu nanti.