Vivo V80 Lite 5G – Berapa Lama Bateri 10,000mAh Mampu Bertahan?

by Oh! Semput


2
SHARES
31
VIEWS
Posted on 17 Sep 2026 07:00:33

Dalam dunia telefon pintar hari ini, kapasiti bateri bukan sekadar angka di atas kertas. Bateri 10,000mAh menimbulkan persoalan sama ada ia benar-benar praktikal atau sekadar gimik. Dahulunya, angka sebegini hanya terdapat pada powerbank yang besar dan berat. Kini, teknologi membolehkan kapasiti itu dimuatkan dalam peranti yang nipis dan moden. Inovasi ini mengubah cara kita melihat ketahanan bateri yang menjadikannya kini lebih sesuai dengan gaya hidup masa kini.


Selepas menguji Redmi Note17 Pro Max 5G dengan kapasiti sama, kali ini perhatian diberikan kepada Vivo V80 Lite 5G. Sepanjang perjalanan dua hari satu malam di Glamping Dusun Bonda, telefon digunakan dalam situasi nyata yang lebih dekat dengan corak penggunaan harian.

Sepanjang aktiviti, telefon digunakan secara berterusan untuk merakam gambar suasana, menonton kandungan hiburan melalui Netflix, menggunakan lampu suluh bagi beberapa aktiviti malam, melayari internet, serta berhubung dengan rakan sekerja untuk memastikan tugasan kerja sentiasa dikemas kini.

Cumanya, aplikasi peta tidak digunakan kerana perjalanan dilakukan dengan bas yang telah disediakan. Corak penggunaan sepanjang perjalanan lebih santai, namun masih memberi gambaran menyeluruh tentang sejauh mana bateri berkapasiti 10,000mAh mampu bertahan apabila pelbagai fungsi dijalankan secara berterusan.


Kronologi Ketahanan Bateri

Permulaan ujian lapangan ini bermula dengan peranti pada kapasiti bateri penuh 100% ketika berangkat dari rumah pada 11:04 pagi. Setibanya di Mid Valley pada 11:28 pagi, tahap bateri masih kekal penuh tanpa sebarang penurunan. Sepanjang perjalanan menaiki Grab, telefon digunakan secara santai untuk mendengar Spotify, menatal media sosial dan membaca mesej WhatsApp.

Menjelang 12:53 tengah hari, kapasiti bateri mula menunjukkan penurunan selepas telefon digunakan untuk merakam video dan berhubung melalui WhatsApp. Sepanjang perjalanan menuju ke destinasi, penggunaan diteruskan dengan menonton siri Kudrat 1968, diikuti dengan Spotify dan media sosial sebagai pengisi masa. Setibanya pada 2:34 petang, tahap bateri mencatat baki 82%. Sepanjang aktiviti di lokasi, telefon digunakan secara konsisten untuk mengambil gambar, merakam video, serta penggunaan data berterusan melalui rangkaian 4G+ LTE. Penggunaan berterusan ini menyebabkan kapasiti bateri menurun kepada 68% menjelang 7:10 petang.

Selepas itu, aktiviti malam bermula pada 8:00 malam dengan cabaran Blackout Challenge yang berlangsung hampir dua jam dalam keadaan gelap sepenuhnya. Telefon dijadikan sumber cahaya utama sepanjang aktiviti tersebut, dan pada 11 malam, baki bateri turun kepada 47%. Kemudian, sebelum tidur, satu episod anime Demon Slayer sempat ditonton. Keesokan paginya, bateri masih berbaki 26%. Sepanjang pagi, aktiviti diteruskan seperti biasa sehingga baki menurun kepada 6% sebelum berangkat pulang. Akhirnya, setibanya semula di Mid Valley sekitar jam 2 petang, bateri tinggal hanya 3%.

Sepanjang penggunaan, telefon beroperasi dengan internet aktif tanpa henti, SIM digunakan sepenuhnya, malah turut dijadikan hotspot kerana liputan terhad serta beberapa panggilan video dilakukan. Pemerhatian ini menunjukkan bateri berkapasiti 10,000mAh pada Vivo V80 Lite 5G mampu bertahan hampir 24 jam dengan corak penggunaan pelbagai fungsi secara berterusan. Ketahanan sebegini memberi nilai tambah yang jelas untuk pengguna yang memerlukan peranti dengan bateri tahan lama sepanjang hari terutama ketika perjalanan atau aktiviti luar.


Pemerhatian Graf Penggunaan Bateri

Graf Battery Usage memperlihatkan corak penggunaan bateri sepanjang perjalanan. Kapasiti bateri menurun secara berterusan daripada penuh sehingga hampir habis tanpa sebarang pengecasan dilakukan. Lengkung graf yang stabil menunjukkan telefon digunakan secara berterusan sepanjang tempoh tersebut.

Tiada tanda pengecasan semula, sebaliknya hanya garis biru yang menurun konsisten sebelum bertukar kepada merah apabila bateri hampir habis. Pemerhatian ini menunjukkan bateri mampu bertahan lebih daripada sehari penuh walaupun dengan penggunaan pelbagai fungsi. Telefon bukan sahaja digunakan secara aktif, malah terus beroperasi di latar belakang.

Dari segi aplikasi, media sosial muncul sebagai penyumbang utama kepada penggunaan bateri. Corak ini turut mencerminkan realiti gaya hidup moden di mana aktiviti atas talian dan hiburan harian menjadi faktor besar yang mempengaruhi ketahanan bateri sepanjang perjalanan.

Nota: Bacaan graf ini direkodkan khusus sepanjang perjalanan glamping di Dusun Bonda sahaja. Ia tidak mewakili corak penggunaan harian secara umum atau hari-hari lain.


Kesimpulan

Vivo V80 Lite 5G dengan bateri 10,000mAh memperlihatkan prestasi yang praktikal dalam penggunaan sebenar. Sepanjang perjalanan, peranti ini mampu menampung pelbagai fungsi sepanjang hari dengan penurunan kapasiti yang konsisten tanpa pengecasan semula. Corak penggunaan santai seperti merakam suasana, melayari media sosial, menonton hiburan, berhubung dengan rakan sekerja dan sesekali dijadikan hotspot memberikan gambaran realistik tentang ketahanan bateri dalam gaya hidup harian.

Meskipun aplikasi dalam talian meningkatkan penggunaan tenaga, kapasiti besar ini tetap menawarkan kelebihan nyata untuk perjalanan atau aktiviti seharian. Namun begitu, ketahanan bateri pada asasnya masih bergantung pada cara setiap pengguna mengendalikan peranti. Untuk gambaran lebih mudah tentang pengalaman sepanjang perjalanan, boleh dirujuk video pendek saya di sini sebagai pelengkap kepada ulasan ini.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts