Berjaya Hills Resort Bhd Anggap Tindakan Penguatkuasaan Lucut Hak Tanah Miliknya Di Pahang 'Tidak Munasabah, Tak Boleh Diterima'

by Oh! Semput


3
SHARES
34
VIEWS
Posted on 04 Oct 2026 20:00:23

KUALA LUMPUR: Berjaya Hills Resort Bhd, sebahagian daripada Berjaya Corp Bhd menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan terhadap hartanahnya oleh pihak berkuasa Pahang adalah 'tidak munasabah dan sama sekali tidak boleh diterima'.

Tindakan itu, yang diambil susulan pertikaian berhubung kenaikan mendadak cukai tanah, juga 'tidak munasabah' serta menjejaskan jangkaan sah Berjaya Hills untuk meneruskan perniagaan dan operasinya secara aman, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan dikeluarkan susulan pelucuthakan premis pada 28 September lalu.

"Langkah sedemikian oleh kerajaan negeri Pahang akan memberi kesan negatif dan menjejaskan pelaburan masa depan oleh pelabur tempatan dan asing di negeri Pahang," kata Berjaya Hills.

Berjaya Hills memiliki tanah serta mengendalikan hotel dan resort di destinasi tanah tinggi berhampiran Bentong, termasuk Colmar Tropicale, The Chateau Spa & Wellness Resort dan Berjaya Hills Golf Resort.

Buat masa ini, Berjaya Hills memperoleh penangguhan sementara terhadap pelucuthakan yang meliputi kuarters kakitangan, dobi pusat dan kemudahan penting lain, sementara syarikat itu memohon supaya kesnya didengar di mahkamah tertinggi Malaysia selepas mengalami kekalahan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan baru-baru ini.

Pertikaian itu berpunca daripada kenaikan cukai tanah sebanyak 13 kali ganda ke atas hartanah Berjaya Hills kepada RM33.7 juta pada 2020 berbanding tahun sebelumnya, yang disifatkan syarikat itu sebagai 'luar biasa dan belum pernah berlaku' di Malaysia.

Jumlah itu kemudian dikurangkan kepada RM25.75 juta, namun masih kenaikan hampir 10 kali ganda selepas 11 rayuan dikemukakan kepada kerajaan negeri Pahang antara April 2020 hingga Disember 2022, berdasarkan kronologi yang diberikan syarikat.

Berjaya Hills terus mengemukakan rayuan tanpa kejayaan, sebelum mencabar semakan cukai tanah itu di Mahkamah Tinggi pada April 2023.

Usaha itu gagal apabila mahkamah memutuskan bahawa ia tidak boleh campur tangan dalam keputusan dasar kerajaan negeri berhubung semakan kadar cukai tanah.

Syarikat itu kemudian membawa kesnya ke mahkamah rayuan tetapi tewas dalam keputusan pada Julai lalu.

Permohonan untuk mendapatkan kebenaran membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan dibuat pada Ogos tahun ini, dengan pendengaran dijadualkan pada 8 Disember.

Walaupun Berjaya Hills berharap tindakan undang-undang itu akan membuahkan keputusan positif, syarikat berkata ia amat berharap kerajaan negeri Pahang akan terus berunding secara konstruktif dengan syarikat ke arah penyelesaian yang boleh diterima bersama dan secara baik.

Media melaporkan bahawa sebanyak 122 hak milik di atas tanah milikan Berjaya sekitar Bukit Tinggi, Bentong dilucutkan kepada Kerajaan Negeri Pahang susulan kegagalan menjelaskan tunggakan cukai tanah berjumlah lebih RM70 juta.

Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Saifullah Muhammad Ali, berkata antara lokasi terbabit adalah kuarters pekerja, dobi, taman arnab dan taman Jepun yang masing-masing berada di atas tanah kerajaan yang dilucuthak.

"Pada 28 September 2026, UPNP melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap tanah milik syarikat Berjaya Sdn Bhd di Bukit Tinggi, yang telah dilucuthak kepada Kerajaan Negeri Pahang.

"Sebanyak 122 hak milik yang dilucuthak telah disita, manakala struktur kekal yang berada atas tanah kerajaan telah dikosongkan dan dikunci, dengan pemasangan rantai dan mangga.

"Tindakan dilaksanakan selepas pihak Berjaya gagal menyelesaikan tunggakan cukai tanah sebanyak RM 70,481,097 melibatkan keseluruhan 122 hak milik, yang tertunggak seawal tahun 2020," katanya. #BeritaHarian

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts