by Oh! Semput
KUALA LUMPUR – Ahli UMNO yang mendaftar sebagai pengundi berpeluang untuk memenangi cabutan bertuah sempena sambutan ulangtahun UMNO ke-71 yang berlangsung pada 11 Mei nanti.
Setiausaha Kerja UMNO Datuk Abdul Rauf Yusoh berkata, ahli UMNO yang hadir pada majlis sambutan yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil berpeluang memenangi 6 buah kereta dan 10 motosikal.
Sambutan ulangtahun UMNO ke-71 itu adalah sambutan terbesar pernah diadakan dan sejumlah 140,000 dijangka hadir.
“Hadiah utama berupa Proton Perdana dan kita menjangkakan bilangan hadiah utama iaitu kereta akan meningkat kepada 10 buah. Cabutan bertuah ini hanya untuk ahli UMNO yang telah mendaftar sebagai pengundi.
“Untuk memenangi cabutan bertuah ini kita tidak mengunakan kupon sebaliknya ahli UMNO perlu mendaftar dengan memasukkan nombor kad pengenalan secara dalam talian menggunakan aplikasi yang akan diumumkan nanti,” jelas Abdul Rauf.
Abdul Rauf berkata demikian selepas mempengerusikan Majlis Sambutan Hari UMNO ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Menurut beliau nama pemenang akan diumum pada malam sambutan pada 11 Mei dan hanya ahli yang berada di lokasi berhak menerima hadiah.
Selain itu golongan muda dari pelbagai kaum juga berpeluang untuk memenangi hadiah bernilai RM5,000 hingga 20,000 bagi pertandingan Generasi TN50 yang berupa penulisan esei, fotografi dan video pendek.
Sambutan ulangtahun UMNO ke-71 akan bermula pada 1 Mei dengan acara larian bendera yang akan dilepaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. – UTUSAN –